Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | Barangkali tiada sesiapa lagi yang terkenang kepada Tun Perpatih Serdang. Dia merupakan salah seorang pembesar kerajaan Melayu Melaka yang kemudian diberi gelaran Seri Wak Raja II.

Adapun Seri Wak Raja II itu dikisahkan sebagai seorang bendahara yang kuat taatnya kepada raja namun akhirnya dilihat kuat perasa. Justeru berlaku salah faham yang tidak dijangka di antara dia dengan Sultan Muzaffar Shah.

Berdasarkan nukilan Sulalatus Salatin, pada suatu hari Seri Wak Raja itu mahu menghadap akan Sultan Muzaffar Shah di balairung istana. Namun berlaku kesilapan komunikasi.

Ketika Seri Wak Raja II dalam perjalanan menemui pemerintahnya, sultan itu berdiri lalu masuk ke istana. Bukanlah Sultan Muzaffar Shah itu enggan bertemu mata dengan bendaharanya.

Adapun Sultan Muzaffar Shah itu sudah lama berada di balairung dan menerima menghadap pelbagai orang, maka dia pun berangkat masuk tanpa mengetahui Seri Wak Raja II sedang dalam perjalanan mahu menemuinya.

Menambah parah, sejurus selepas itu angin pun bertiup dan daun pintu istana tertutup sendiri. Seri Wak Raja II mentafsir kejadian itu sebagai kemurkaan raja kepadanya.

Sedih dan kesipuan, Seri Wak Raja II pun pulang dalam keadaan dukacita. Dia kemudian nekad menamatkan riwayatnya dengan meminum racun. Tidak sanggup dia hidup lebih lama membawa aib pada mukanya.

Itu adalah secebis kisah dalam politik yang berkait dengan aib. Ia bukan sesuatu yang baru. Politik yang berpaksikan kepada moral sudah ada sejak sekian lama.

Berkembang jadi matang

Aib jugalah yang selalu menjadi sandaran kepada ramai ahli politik di seluruh dunia untuk mengambil sikap. Memanglah ramai saja yang berpewatakan tidak tahu malu. Selepas melakukan kesilapan mereka tetap mempertahankan diri dan seboleh-bolehnya bergayut pada kuasa.

Selagi boleh berhujah, dia akan bersilat hujah itu ini. Selagi ada benda boleh ditunggang, mereka akan menunggang tanpa perlu risau untuk menanggung malu.

Namun masyarakat yang bertamadun tidak mahu menerima budaya sebegitu. Di sebalik sikap degil dan selamba itu, orang ramai memberi tekanan dan menghina pemimpin yang tiada mengenal dia akan malu.

Biasanya pemimpin terbabit mengalah pada akhirnya.

Dan begitulah tamadun serta politik berkembang menjadi matang, dewasa, bermaruah dan sejahtera. Kecuali di negara-negara tertentu.

Di Uganda misalnya baru-baru ini seramai 529 wakil rakyat di negara didiami kira-kira 45 juta orang itu mendapat durian runtuh. Bukan orang ramai, tapi wakil rakyat. Bukan seorang tapi lebih 500 orang.

Setiap seorang daripada mereka diberikan peruntukan oleh kerajaan sebanyak kira-kira RM240,000 untuk membeli kereta baru. Ia dilakukan ketika Uganda - seperti kebanyakan negara lain dalam dunia - bergelut dengan ancaman Covid-19.

Untuk rekod, di Uganda seorang guru biasanya menerima gaji sebanyak RM320 sebulan dan pekerja biasa dibayar gaji - secara purata - RM120 sebulan.

Apabila dikecam, sudah tentu kerajaan tidak akan berdiam diri. Menurut laporan Aljazeera, pentadbiran Uganda memberitahu dunia, tidak ada salahnya kerajaan memberikan durian runtuh itu kerana ia selaras dengan tradisi negara tersebut menghargai khidmat bakti wakil rakyat.

Harga sebuah kecuaian

Adapun apa jenis kenderaan baru itu tidaklah dapat diketahui sama ada Mercedes-Benznya atau Ford Ranger Raptornya, atau apa-apa jenama lain.

Tidak seperti di Melaka lama, belum ada lagi laporan mana-mana orang politik Uganda meminum racun atau melakukan sebarang tindakan radikal kerana berasa aib di depan masyarakat.

Politik di negara maju, memang begitulah.

Sementara itu di sebuah negara yang mundur seorang ahli parlimen menawarkan diri untuk meletak jawatan selepas rasa amat bersalah kerana terlewat sampai ke Parlimen.

Nama ahli politik itu ialah Michael Bates yang menganggotai Parti Konservatif Britain. Pada hari terakhir Jan 2018 Bates mungkin sedikit cuai sehingga terlewat sampai untuk menjawab soalan Angela Smith dari Parti Buruh.

Bates terlewat seminit daripada waktu yang sepatutnya. Dan reaksi Bates: Dia menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai 'membayar' kecuaian tersebut.

Perdana Menteri Britain Theresa May menolak peletakan jawatan tersebut. Angela juga berpendapat tidak perlu untuk Bates mengambil langkah sebegitu kerana permohonan maaf adalah memadai.

Biasalah, dasar negara yang mundur memang begitu.

Sebenarnya sikap tiada malu dalam politik sangat perlu dan menjadi salah satu senjata paling ampuh untuk berjaya. Hal itu yang seperti selalu gagal difahami oleh orang politik di negara seperti Britain, AS, Jerman, Jepun, malah New Zealand.

Barangkali sistem pendidikan di negara berkenaan gagal memahamkan rakyatnya bahawa malu adalah salah satu kelemahan paling nyata untuk umat manusia.

Untuk berjaya, kita tidak perlukan orang seperti Seri Wak Raja II atau Bates. Kita perlukan watak-watak seperti yang ada ramai dalam Dewan Rakyat sekarang.

Dengan beramal dengan malu dan memberi ruang kepada aib untuk mengambil tempat dalam diri, kita akan mudah berasa kecewa lalu mengalah. Nampaknya itu yang diterapkan oleh sistem pendidikan politik Uganda.

Langkah dalam politik moden bukan lagi perseteruan yang kuno. Persaingan untuk mendapat kuasa dan pengaruh banyak ditentukan oleh tahap malu seseorang. Semakin tipis malunya, semakin besarlah ruang terbuka untuk dia berjaya.

Musuh pula bukannya ada apa-apa pilihan selain mengkritik atau mengemukakan hujah itu dan ini. Lantaklah apa pun yang dihujahkan. Usah malu, usah tersipu. Pihak yang bertentang tidak akan mampu berbuat apa-apa.

Sistem demokrasi juga memberikan ruang yang besar untuk ahli politik tanpa malu untuk kekal bertakhta di kerusi atau kawasan masing-masing. Pedulikanlah apa pun kata umpat dan keji orang lain kerana pada akhirnya yang paling penting ialah pengundi di kawasan yang ditandingi.

Kalau perlu jilat ludah sendiri, jilatlah dengan penuh kelazatan.

Orang politik di Malaysia wajar mempertahankan amalan politik tanpa aib ini sampai kiamat.

Dan rakyat pula wajib mengingat nama dan wajah mereka selama mungkin. Buktikan Melayu - atau bangsa apa pun - tidak mudah lupa. Apabila tiba masa mengundi, usah kesipuan sebesar zarah pun untuk terus menyembah dan menunjung mereka agar kekallah pemimpin tanpa malu itu pada kuasa.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang pemalu.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS