Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sumber: Agong titah Muhyiddin percepat adakan sidang Parlimen

Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan Muhyiddin Yassin untuk mengadakan sidang Dewan Rakyat lebih awal, di tengah-tengah ketidaktentuan berkenaan keabsahannya sebagai perdana menteri.

Perkara itu berdasarkan sumber yang tahu berkenaan apa yang berlaku di Istana Negara pagi ini, ketika Muhyiddin menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum mesyuarat kabinet minggu ini.

"Tuanku telah mengarahkan perdana menteri percepat tarikh (sidang Parlimen)," menurut sumber itu yang enggan dinamakan.

Menurutnya, yang merupakan seorang individu berpangkat tinggi, tiada tarikh khusus yang ditetapkan ketika sesi menghadap pagi tadi.

Bagaimanapun, difahamkan sidang patut diadakan lebih awal berbanding 6 September - iaitu tarikh yang telah ditetapkan untuk istiadat pembukaan sidang pertama Dewan Rakyat tahun ini.

"Agong turut mengingatkan Muhyiddin berkenaan keperluan untuk membuktikan majoritinya di Parlimen, dan membuat apa yang perlu selaras Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan," kataya lagi.

Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan yang perdana menteri perlu meletakkan jawatan jika dia tidak lagi mempunyai keyakinan majoriti ahli parlimen, kecuali jika Agong menitahkan agar Dewan Rakyat dibubarkan.

Tidak diketahui jika Muhyiddin telah menyatakan persetujuannya untuk mengadakan sidang lebih awal seperti yang dititahkan Agong.

Ketika laporan ini ditulis, Pejabat Perdana Menteri (PMO) belum memberi respons kepada permintaan Malaysiakini untuk mengulas perkara ini.

Malaysiakini juga telah menghubungi pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin dan masih menunggu maklum balas.

Titah Sultan Abdullah itu beberapa hari selepas sejumlah besar ahli parlimen menghantar surat kepada Agong untuk menyatakan mereka menolak Muhyiddin selaku perdana manteri.

Difahamkan jumlah ahli parlimen yang berbuat demikian melebihi separuh daripada jumlah keseluruhan ahli parlimen, termasuk 105 daripada pembangkang dan 14 orang daripada Umno.

Secara keseluruhan, terdapat 222 kerusi parlimen. Bagaimanapun dua kerusi kosong berikutan kematian penyandangnya. Perdana menteri perlu mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya 111 ahli parlimen untuk kekal berkuasa.

Pada 3 Ogos lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan parti itu untuk tidak lagi menyokong PN, dan mendakwa ia bermakna kerajaan Muhyiddin tidak lagi memiliki sokongan majoriti dan justeru telah hilang keabsahannya.

Sehari kemudian, Muhyiddin mengadakan perutusan khas untuk menegaskan dia masih memiliki sokongan majoriti dan akan membuktikannya menerusi undi percaya dalam sidang Parlimen bulan depan.

Bagaimanapun, kebanyakan ahli parlimen, terutama daripada pembangkang, mendesak undi percaya itu perlu dilakukan lebih awal.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen
ADS