Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Usul percaya: PN hulur tangan kepada parti lain
Diterbitkan:  Aug 13, 2021 6:21 PM
Dikemaskini: 12:11 PM

Perikatan Nasional bersepakat untuk berhubung dan berunding dengan pemimpin parti di luar gabungan itu bagi memastikan undi percaya ke atas Muhyiddin Yassin dapat diluluskan.

Menurut Muhyiddin langkah itu dibuat agar kerajaan PN dapat terus berfungsi sehingga tiba waktunya rakyat mendapat kembali hak memberikan mandat kepada pihak yang dirasakan wajar menjadi kerajaan.

“Kami (PN) telah mencapai satu kata sepakat, untuk berunding dengan pimpinan-pimpinan parti di luar PN bagi meluluskan undi percaya kepada perdana menteri di Dewan Rakyat.

“Ini akan membolehkan kerajaan yang ada pada hari ini terus berfungsi menguruskan pandemik hingga tiba satu masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat,” katanya dalam ucapan khas yang disiarkan petang tadi.

Muhyiddin turut membentangkan cadangan rangka persefahaman rentas parti yang diilhamkan PN itu agar mendapat sokongan semua parti ketika dia berdepan ujian getir di parlimen tidak lama lagi.

Rangka persefahaman rentas parti itu antara lain, menjanjikan:

  • RUU Perbekalan (Belanjawan) akan dirundingkan terlebih dahulu dengan semua ahli parlimen tanpa mengira parti sebelum dibentangkan di parlimen.
  • Pelaksanaan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang mengambil masa.
  • Mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja
  • Undang-undang antilompat parti
  • Peruntukan tahunan yang sama kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti politik.
  • Separuh daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dipengeruskan oleh ahli parlimen pembangkang.
  • Ketua Pembangkan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri kanan.

Kata Muhyiddin, sesetengah reformasi - seperti mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri dan undang-undang antilompat parti - memerlukan pindaan perlembagaan.

Dengan cadangan itu, Muhyiddin membayangkan satu kerajaan yang lebih stabil dan inklusif sekiranya undi percaya ke atasnya nanti diluluskan.

Pun begitu untuk rekod pengkritik berpendapat sebahagian daripada idea yang dikemukakan Muhyiddin itu berasal daripada tawaran dibuat Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Malah sesetengahnya sudah diusahakan dan dalam peringkat pelaksanaan, seperti Undi 18.

Tambah Muhyiddin, dia akan menghantar jemputan rasmi kepada semua pemimpin parti politik untuk membincangkan cadangan-cadangannya itu pada minggu hadapan bagi mendengar pandangan mereka.

“Saya bersedia untuk mendengar pandangan mereka berhubung cadangan ini.

“Sekiranya cadangan kerjasama bipartisan ini dipersetujui, saya akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada perdana menteri dalam masa terdekat.

“Saya memberi jaminan bahawa saya akan mengambil tindakan yang terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada masa ini.

“Keutamaan saya hanyalah untuk memastikan kerajaan terus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan negara,” katanya lagi.

Rangka persefahaman rentas parti dikemukakan Muhyiddin itu hadir ketika Yang di-Pertuan Agong dilaporkan cuba menilai sendiri sama ada presiden Bersatu itu masih mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat atau pun tidak. 

Mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang perdana menteri perlu meletakkan jawatan jika dia tidak lagi mempunyai keyakinan majoriti ahli parlimen, kecuali jika Agong menitahkan agar Dewan Rakyat dibubarkan.

Setakat 9 Ogos, Muhyiddin dipercayai mempunyai sokongan jelas daripada 100 ahli parlimen - kurang 11 untuk mendapat majoriti sederhana di parlimen - selepas Umno menarik sokongannya.

Dua ahli parlimen Umno meletakkan jawatan daripada kabinetnya. 12 lagi menarik balik sokongan mereka. 

Lihat Komen
ADS