Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GPS 'tiada masalah' Ismail Sabri jadi PM, mahu k'jaan PN kekal

Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata pihaknya "tiada masalah" sekiranya Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dicalonkan menjadi perdana menteri baru bagi mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha agung GPS Alexander Nanta Linggi berkata ia memang merupakan pilihan biasa memandangkan Ismail kini timbalan perdana menteri.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah memberi isyarat akan letak jawatan esok selepas 15 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan terhadapnya.

Ia menjadikannya kurang sokongan 11 ahli parlimen untuk mengekalkan majoriti. Terdapat 220 ahli parlimen di Dewan Rakyat dengan dua kerusi kosong.

“Kami sebahagian daripada kerajaan. Walaupun kami bukan sebahagian daripada PN, sebagai sebahagian kerajaan, kami mahu lihat kerajaan masih dapat diteruskan, meskipun jika berlaku perubahan kepemimpinan.

“Ini kerana kami berpegang kepada prinsip kami dan percaya bahawa kerajaan persekutuan mestilah menjadi satu kerajaan yang stabil,” katanya kepada Malaysiakini.

Ismail Sabri dilihat mengumpulkan sokongan ahli parlimen kerajaan dalam usahanya untuk menggantikan Muhyiddin, yang merupakan presiden Bersatu. Namun dia masih perlu meyakinkan 15 ahli parlimen Umno yang menolak Muhyiddin untuk menyokongnya bagi mendapat majoriti mudah.

Jika 15 ahli parlimen itu kembali menyokong PN, dia akan dapat membentuk kerajaan yang tidak banyak berbeza daripada pentadbiran sekarang.

“Saya rasa GPS tak ada masalah dengan Ismail kerana dia memang sudah timbalan perdana menteri. Kami boleh terima dia sebagai calon perdana menteri untuk PN dan PN Plus,” katanya.

Bagaimanapun, dia berkata Ismail setakat ini belum meminta 18 ahli parlimen GPS untuk membuat akuan bertulis bagi menyokongny.

Kerajaan Muhyiddin terdiri daripada PN (Bersatu, PAS, Star, BN) dan BN (Umno, MCA, MIC, PBRS), GPS (PBB, PRS, PDP SUPP), PBS dan ahli-ahli parlimen bebas.

Alexander berkata GPS akan lebih cenderung untuk menyokong Ismail sekiranya dia turut disokong Muhyiddin, yang menurutnya telah melakukan banyak perkara untuk Sarawak.

“Muhyiddin bersikap baik kepada Sarawak. Apa yang kami minta dari segi royalti (minyak) - kami dapat ketika pentadbiran PH lagi -tetapi dia benarkan kami kenakan lima peratus lagi cukai jualan ke atas produk eksport petroleum.

“Kami mencapai banyak perkara di bawah Muhyiddin jadi kami rasa kerajaannya dapat terus memberi perhatian kepada Sarawak.

“Kami ingin lihat kerajaan itu tidak tumbang kerana kerajaan ini baik untuk kepentingan Sarawak,” katanya lagi.

Alexander, yang merupakan ahli parlimen Kapit, berkata kestabilan merupakan pertimbangan utama GPS.

“Apa yang paling penting ialah kami mahukan sebuah kerajaan yang stabil.

“Kami mahu pastikan yang perang melawan Covid-19 ini diteruskan kerana kami percaya yang ia telah berjaya.

“Paling utama, di Sarawak, kadar vaksinasi adalah tinggi,” tambahnya. 

Lihat Komen
ADS