Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perbicaraan 1MDB ditangguh ke petang, Najib perlu hadir mesyuarat BN

Penasihat Barisan Nasional (BN), Najib Razak perlu menghadiri mesyuarat pemimpin gabungan itu pada pukul 10.30 pagi ini berhubung isu pelantikan perdana menteri baru.

Susulan itu, perbicaraan kes rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion bekas perdana menteri itu akan ditangguhkan sementara sekitar jam 10.45 pagi ini untuk membolehkan tertuduh menghadiri mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan penangguhan sementara oleh ketua peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam menjelaskan bahawa Najib harus menghadiri mesyuarat itu kerana dia adalah ketua lembaga penasihat BN.

"Anak guam saya sebagai penasihat BN, akan menghadiri mesyuarat dengan (Presiden Umno Ahmad) Zahid (Hamidi), dan (Timbalan Presiden Umno Mohamad) Hasan, bersama dengan pemimpin parti yang lain, untuk membuat keputusan.

"Ini adalah permohonan saya untuk menangguhkan perbicaraan pada pukul 10.30 pagi (hari ini) agar dia (Najib) dapat berada di PWTC," kata Shafee.

Namun, Sequerah mengingatkan bahawa mahkamah hanya dapat mengizinkan penangguhan sementara perbicaraan hari ini, dan prosiding akan disambung pada pukul 2.30 petang ini.

"Kita (mahkamah) dapat memudahkan, tetapi kita harus sambung (perbicaraan) petang ini," kata hakim.

Perbicaraan telah berlangsung sejak 2019, dan menghadapi banyak penangguhan yang disebabkan oleh banyak peristiwa, seperti bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara untuk mengekang wabak Covid-19 tahun lalu, dan pasukan undang-undang Najib menjalani kuarantin kendiri setelah menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Setelah Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai perdana menteri dan kini bertindak sebagai perdana menteri sementara, Agong telah mengarahkan semua ahli parlimen untuk menyatakan calon pilihan perdana menteri mereka sebelum jam 4 petang ini.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, terdapat banyak pertemuan pemimpin parti politik untuk menentukan pilihan calon pilihan mereka untuk menerajui jawatan tertinggi negara.

Antara calon calon perdana menteri yang berpotensi diangkat ialah ketua pembangkang Anwar Ibrahim, bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal, dan bekas timbalan perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Lihat Komen
ADS