Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Undi 18, akta antilompat parti - PH cadang Ismail laksana 4 langkah pembaharuan
Diterbitkan:  Aug 24, 2021 7:03 PM
Dikemaskini: 11:28 AM

Majlis Presiden PH berpandangan bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob wajar memberikan pertimbangan terhadap reformasi perundangan, antaranya dengan melaksanakan Undi 18 dan undang-undang anti lompat parti.

Dalam kenyataan media hari ini, Majlis Presiden PH menggariskan empat dasar dan langkah reformasi serta penambahbaikan yang perlu dilaksanakan pentadbiran baru.

"Sejak tahun lalu PH telah menggariskan dasar dan langkah reformasi serta penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan rakyat negara daripada wabak Covid-19, krisis ekonomi dan kemelut politik.

"Memandangkan kerajaan terdahulu yang dipimpin Muhyiddin Yassin, gagal menangani pelbagai masalah termasuk isu Covid-19, dan memandangkan jemaah menteri yang baru bakal dibentuk, PH berpandangan perdana menteri wajar memberi pertimbangan terhadap isu-isu yang dibangkitkan ini demi rakyat dan negara," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Selain reformasi perundangan, gabungan pembangkang itu turut menggesa reformasi dalam aspek berikut:

  • Penambahbaikan Pelan Pemulihan Negara dengan memastikan program saringan ujian awam ”FTTIS+V" (find, test, trace, isolate and support plus vaccinate) dilaksana dan memastikan sokongan tambahan diberi kepada sistem kesihatan awam.
  • Reformasi fiskal dengan meningkatkan jumlah bantuan untuk rakyat termasuk suntikan tunai RM45 bilion secara langsung kepada pekerja, perniagaan dan sektor kesihatan, serta program moratorium pinjaman bank tanpa faedah.
  • Reformasi institusi dengan memperkasa Parlimen melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen, memperkukuh fungsi semak imbang Parlimen, serta mengiktiraf peranan pembangkang dengan benar-benar dilibatkan dalam usaha kerajaan.

Untuk rekod, dalam ucapan rasmi pertama sebagai perdana menteri pada 22 Ogos lalu, Ismail Sabri menawarkan pembangkang untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Kata Ismail Sabri, ia selaras dengan titah Agong yang mahu semua pihak melupakan perbezaan demi demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Lihat Komen
ADS