Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM tawar pembangkang sertai Majlis Pemulihan Negara
Diterbitkan:  Aug 22, 2021 9:43 AM
Dikemaskini: 12:35 PM

Ahli politik pembangkang hari ini ditawarkan ruang bekerjasama dengan kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19 yang masih membelenggu negara.

Menurut perdana menteri kerajaan menawarkan kerjasama itu melalui penyertaan dalam Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Kata Ismail Sabri Yaakob ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua pihak melupakan perbezaan demi demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

"Kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana. Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan," katanya dalam ucapan rasmi pertamanya sebagai perdana menteri petang ini.

Ismail Sabri berkata kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Oleh itu katanya kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan, termasuk lah mewujudkan kerjasama rentas parti.

"Justeru, saya ingin menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19," katanya.

Menurut ahli parlimen Bera itu dia akan menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.

"Saya berikrar menghasilkan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat kepada pasukan saya tidak dipersiakan," katanya.

Lihat Komen
ADS