Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perjanjian CSA: Kenyataan Pua terlalu awal - Saifuddin

Kenyataan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua bahawa Pakatan Rakyat (PH) bersedia menerima perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan Perdana Menteri baru, Ismail Sabri Yaakob dikatakan sebagai 'terlalu awal'.

Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses rundingan antara kerajaan dan PH masih di peringkat awal.

"Kenyataan Tony 'terlalu awal'. Proses rundingan masih di peringkat awal untuk membuat keputusan.

"Kami baru-baru ini dihubungi oleh wakil PM setelah Ismail Sabri mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin PH minggu lepas.

"Yang paling penting, PH tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan," katanya ketika dihubungi.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tony Pua bahawa PH sedia menerima perjanjian CSA dengan Ismail Sabri sekiranya perdana menteri baru itu membuat tawaran serupa seperti yang dilakukan pendahulunya, Muhyiddin Yassin.

Bercakap pada forum dalam talian malam tadi, pemimpin DAP itu mengesahkan rundingan sedang berlangsung antara blok pembangkang dengan Ismail, yang dilantik sebagai perdana menteri minggu lalu.

'Tiada keperluan CSA setakat ini'

Bagaimanapun, Saifuddin berkata rundingan antara kerajaan dengan PH bukan melibatkan perjanjian CSA.

"Ia bukan perjanjian CSA antara kerajaan dan PH tetapi lebih kepada satu persefahaman demi kebaikan rakyat.

"Perjanjian CSA sebelum ini adalah inisiatif individu, antara beberapa pemimpin pembangkang dan kerajaan terdahulu di bawah Muhyiddin tanpa persetujuan oleh pucuk pimpinan PH.

"Sekarang ia sudah jadi formal antara kerajaan dengan pembangkang. Finaliti itu bergantung komitmen kerajaan Ismail Sabri terhadap agenda prorakyat dan proreformasi," katanya.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu menambah kebiasaannya perjanjian CSA hanya diadakan antara kerajaan minoriti dengan pembangkang.

"Dalam kes Muhyiddin (Yassin) dia jelas hilang majoriti. Jadi, dia adakan inisiatif perjanjian dengan beberapa ahli parlimen pembangkang secara individu.

"Tapi Ismail Sabri buat masa ini ada sokongan 114 ahli parlimen. Jadi tiada keperluan CSA. Rundingan itu bukan lagi modal CSA," katanya.

Jawatankuasa kerja

Sementara itu, Saifuddin turut memberitahu bahawa PH menubuhkan jawatankuasa kerja berkaitan rundingan dengan kerajaan.

"Ini fasa pertama. Kemudian, PM akan memasuki proses perundingan dengan PH secara rasmi. Ada banyak fasa sebelum membuat keputusan muktamad.

"Apa-apa keputusan terakhir akan dibuat oleh Majlis Presiden PH," katanya.

Tambahnya, rundingan antara kerajaan dan PH bukan lagi fokus kepada undang-undang antilompat parti, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan reformasi parlimen sahaja.

"Yang itu ketika masa dia (Tony Pua) masuk rundingan secara individu.

"Sekarang sudah ada tambahan tertakluk kepada keputusan kedua-dua pihak,"katanya.

Ismail mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat lalu setelah mendapat sokongan majoriti tipis daripada 114 anggota parlimen.

Bagaimanapun dia akan berdepan undi percaya ketika parlimen bersidang semula pada 6 September ini.

Dengan hanya majoriti empat kerusi daripada jumlah keseluruhan 220 ahli parlimen, naib presiden Umno itu berisiko ditumbangkan semasa proses pengundian.

Lihat Komen
ADS