Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | Tenang tenang sajalah Malaysia.

Dunia tidak berakhir esok dan matahari masih akan bangkit dari timur untuk menyinar bumi ini. Pedulilah bagaimana sekalipun kabinet di negara ini, belum masanya untuk mengucapkan selamat malam.

Kabinet yang terbaru ini bukanlah yang terburuk dapat dilakukan parti politik ke atas negara tercinta ini. Ia sudah tentu bukan yang terbaik, malah mungkin tidak mencapai tahap yang baik. Tetapi ia bukan terburuk.

Kerajaan yang belum tahu akan menjadi BN atau PN ini boleh menghadiahkan kita kabinet yang lebih buruk daripada apa yang ada, tetapi mujurlah ia tidak dilakukan begitu.

Justeru, tenang-tenang sajalah Malaysia.

Esok masih ada dan matahari akan muncul lagi, dan lagi, untuk menerangkan alam.

Pada masa sama, kita tidak tahu bagaimana harus bersikap dengan demokrasi yang sedang kita nikmati bersama-sama ini. Ketika kabinet baru - yang belum tahu menjadi BN atau PN itu - sedang diperkirakan, orang ramai masih berharap itu dan ini daripada perdana menteri baru.

Tidaklah salah untuk berharap itu dan ini. Sudah namanya warganegara, maka hak semualah untuk mengimpikan bermacam-macam selepas semuanya lelah dengan langkah politik yang rencam serta berselirat itu.

Kita cuma kemudian tersedar bahawa perbuatan itu sebenarnya janggal - dan lucu ya amat - apabila yang berharap itu adalah pihak yang memenangi pilihan raya umum namun menjadi pembangkang.

Pihak yang diharapkan itu pula ialah kumpulan yang kalah serta gagal mendapat mandat rakyat, namun kini sedang mentadbir negara sebagai kerajaan.

Pun begitu, usahlah gundah gulana walau sebesar hama sekali pun. Sejarah membuktikan kita ini sentiasa akan baik-baik saja. Selain merungut dan membawang, kita akan tetap bersangka baik waima kepada sesuatu yang memang buruk.

Contohnya, macam di atas tadilah. Menang PRU dan mendapat mandat tetapi jadi pembangkang, dan mereka mengisi masa yang ada dengan berharap itu dan ini agar negara menjadi lebih baik.

Ya, benar. Menjadi lebih baik itu bermakna sekarang ini keadaan sudah baik. Kita cuma mengharapkan keadaan menjadi "lebih baik". Kerana itu jika ia tidak dicapai, keadaan akan tetap baik-baik saja. Dan semua orang bertenang.

Abaikan kata-kata "yang menang tidak menang semua, dan yang kalah tidak kalah semua" itu kerana ia tidak selamanya relevan. Ia hanya sah diperlakukan jika menguntungkan pihak yang berkuasa. Jika sebaliknya, ia adalah kata-kata tanpa makna.

Usah hiraukan politik cantas-mencantas yang sedang berlaku di pelbagai peringkat kerana ia tidak akan merebak sehingga membuat kita kebuluran. Bukanlah sekarang ini rakyat terbanyak hidup senang. Tidak. Rakyat sedang menderita, tetapi tidaklah sehingga kebuluran.

Kalau ada yang kebuluran, ia tidaklah sehingga membawa kepada kematian. Kalau ada yang membawa kematian, ia tidaklah melibatkan satu kampung atau satu taman. Kalau pun takdirnya terbunuh satu taman, ia tetap akan baik-baik saja kerana tugas menyelamat itu akan dilakukan oleh mana-mana NGO yang ada.

Rakyat tetap bersangka baik

Pejam sebelah mata dengan kabinet yang mengutamakan kuota untuk orang penting dalam parti berbanding merit dan kemampuan ahli parlimen berkhidmat untuk rakyat. Kerana politik demokrasi di negara ini bermakna, khidmat sebenar adalah untuk parti dan diri sendiri.

Jika ada menteri yang melaram pun, ia adalah haknya sebagai seorang pemimpin ulung yang sentiasa sibuk memikirkan kebajikan rakyat jelata. Apalah sangat jeliknya bergaya atau menjadi model ketika dalam agensi kerajaan di bawahnya ada ribuan pegawai yang boleh bekerja dengan setia, kan?

Sesekali apabila perlu membeli jiwa orang ramai - atau ketika mereka berasa bosan dan teringin akan hiburan - menteri, pengerusi GLC atau ahli parlimen berkenaan boleh menjadi sukarelawan dan acah-acah memahami kesusahan rakyat lalu membantu golongan kurang bernasib baik.

Rakyat akan tetap sentiasa bersangka baik. Berlakonlah untuk menjadi apa pun, esok masih ada matahari bersinar dan kita semua akan baik-baik saja adanya.

Di satu sisi ada antara kita juga ada slogan "berpolitik secara matang dan sejahtera" untuk mengubati keresahan hati kerana susahnya membezakan di antara orang politik dengan lalang.

Politik yang matang di negara ini ialah merungut dan mengkritik sikit-sikit, dan selebihnya adalah pasrah. Lalu kita menyerahkan urusan berkenaan kepada orang politik yang kadang-kadang berjaga malam untuk memikirkan langkah menyelamatkan kedudukan masing-masing sama ada dalam politik atau kerajaan.

Pada masa sama rakyat berjaga malam kerana sukar melelapkan mata kerana belum menemui jalan yang lapang bagi mengisi perut anak dan isteri.

Matang dan sejahtera dalam politik ialah menjadi ranggi dan menjerit-jerit marah semasa menjadi pembangkang kerana menuntut "pembunuh Adib" ditangkap tetapi mandom selepas menjadi kerajaan.

Itu pun, jangan....

Maka, tenang-tenang sajalah Malaysia. Esok masih ada. Matahari masih bersinar. Keadaan hidup yang sedang dihadapi ini memang buruk, tetapi belum cukup buruk. Kita wajib berfikiran positif dan menyerahkan segala urusan kepada orang politik yang kadang-kadang disibukkan dengan tugas mengipas ketua masing-masing.

Kita kan satu keluarga!


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS