Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hanya dua hari selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan penurunan had umur layak mengundi ditangguhkan ke tahun depan, sekumpulan aktivis muda berhimpun di Parlimen. Ia menjadi permulaan siri tindakan - termasuk desakan agar Muhyiddin Yassin letak jawatan.

Mereka kemudian bersama-sama sebagai Sekretariat Solidariti Rakyat(SSR) walaupun nama itu sendiri, menurut jurucakapny Mohd Asraf Sarafi, hanya muncul seminggu selepas protes pada 27 Mac lalu.

Berbeza dengan gerakan seumpamanya, SSR merangkumi aktivis atas kapasiti individu yang terlibat dalam pertubuhan masyarakat sivil yang lain.

"Saya dari Bersih tapi Bersih tak tugaskan saya untuk anggotai SSR," kata Asraf.

Perkara sama disuarakan pengasas bersama Undi18, Qyira Yusri dan koordinator Suaram, Mohammad Abdullah Alshatri. Ketiga-tiganya diwawancara Malaysiakini baru-baru ini.

Selepas program pertama, SSR kembali mengumpul pendukungnya di luar bangunan Parlimen untuk protes sambil berbuka puasa - ketika itu antara lain bagi menggesa Parlimen bersidang.

Ia diikuti dengan protes di media sosial bagi mendesak Muhyiddin letak jawatan, sidang Parlimen kembali diadakan dan penerusan moratorium pinjaman bank.

Apabila desakan itu tidak ditunaikan, SSR pada Julai melancarkan kempen "Bendera Hitam" secara dalam talian yang berjalan sekali - walau tiada perkaitan - dengan gerakan "Bendera Putih" bagi membantu kalangan yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Dengan kejayaan protes #KeluarLawan, SSR menyifatkan tindakan polis dan penahanan peserta acara nyalaan lilin sebagai di luar jangkaan dan bertentangan dengan persetujuan yang dicapai untuk bekerjasama dalam sebarang siasatan.

Apatah lagi setelah mereka membatalkan himpunan yang pada mulanya dijadual berlangsung pada 21 Ogos, susulan peletakan jawatan Muhyiddin.

Kesemua 31 peserta acara nyalaan lilin, yang dibuat bagi mengenang mangsa wabak Covid-19, masing-masing dikenakan denda RM2,000. Mereka berjaya meraih dana sebanyak RM92,800 daripada 668 penyumbang dalam masa 24 jam.

Dalam wawancara selama sejam, Asraf, Qyira, Mohammad, Addy and Chong menyuarakan tentang kebimbangan terbesar mereka dan harapan terhadap reformasi undang-undang di Malaysia.

Keratan wawancara di bawah telah disunting untuk kejelasan.

Apakah perkara yang anda paling bimbang?

Asraf: Saya bimbang akan Covid-19. Jika tiba-tiba ada kluster daripada protes. Kami benar-benar tumpu kepada penguatkuasaan SOP dan ada pasukan yang dipercayai untuk memastikan kawalan peserta.

Saya tahu kami berisiko berdepan dengan polis, tetapi situasi Covid-19 adalah apa yang benar-benar buat saya risau. Saya menimbang untuk batalkan protes tetapi kawan-kawan gesa untuk teruskan.

Mohammad: Kebimbangan terbesar saya adalah tindakan keras polis. Ditahan ketika atau selepas himpunan. Saya berfikir tentang persiapan untuk protes, cara untuk laksana penjarakan fizikal, keperluan untuk ada marshal dan faktor-faktor lain.

Banyak kali ketika minggu menjelang protes, saya menjadi ragu. Adakah saya benar-benar mahu teruskan? Keesokannya perasaan saya jadi lebih baik, tetapi kemudian saya akan terfikir sekali lagi.

Qyira: Kebimbangan saya adalah saya tak pernah dipanggil polis. Jadi saya sangat bimbang tentang perkara itu. Tiga hari sebelum protes, (aktivis) Sarah Irdina ditangkap, dia hanya berusia 20 tahun.

Jika kerajaan boleh tunjuk kuasa terhadap orang semuda itu, bagaimana dengan mereka yang lain, yang pertama kali sertai himpunan. Kebanyakannya tidak tahu tentang himpunan Bersih dan protes lain yang pernah diadakan.

Polis juga ke rumah Sarah dan saya fikir, bagaimana jika mereka juga buat perkara sama terhadap saya. Adakah mereka akan sebabkan nenek saya kena serangan jantung, atau adakah mereka akan takutkan adik saya? Ini kebimbangan terbesar saya.

Addy: Bagaimana untuk uruskan orang ramai ketika wabak. Kita tak boleh nampak Covid-19, tetapi kita boleh nampak pemimpin yang teruk. Kedua-duanya adalah musuh kita.

Jika anda dapat mansuhkan satu undang-undang, apakah undang-undang itu?

Asraf: Akta Himpunan Aman 2012 ada sejak era BN dan tidak dimansuhkan ketika pentadbiran PH.

Mohammad: Akta Hasutan. Ada anggota SSR yang disiasat kerana menghasut. Ini undang-undang kuno. Orang boleh berdepan masalah hanya kerana satu ciapan.

Qyira: Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Seorang kawan saya, (aktivis hak migran) Heidi Quah didakwa dengan seksyen ini kerana mendedahkan keadaan di pusat tahanan imigresen kita.

Addy: Akta Orang Asli 1954. Akta ini hanya pernah dipinda sekali, dan ia letakkan pelbagai sekatan terhadap masyarakat Orang Asli, menghalang mereka daripada membuat keputusan sendiri.

Chong: Seksyen 377b Kanun Keseksaan berkenaan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.

Apakah yang membuatkan anda terus bersama?

Qyira: Kemarahan secara kolektif membantu haha! Kami semua tidak melihat perkara secara personal dan ia sesuatu yang baik. Ada banyak isu berbangkit dan tiada siapa yang lihatnya secara personal, kami bangkitkan dalam mesyuarat.

Kami juga sangat telus, termasuk di media sosial. Kami sangat jujur tentang diri kami dan pendirian kami. Jadi orang muda dapat melihat persamaan dengan kami walau mereka tak kenal kami.

Addy: Kami pastikan akan bangkitkan perkara dalam mesyuarat. Penting juga yang kami tidak sertai dengan platform ideologi yang tegas. Setiap perkara ditangani secara terbuka dan ikhlas.

Mohammad: Kami buat banyak peretmuan, jadi tiada isu atau rasa tidak puas hati yang terpendam.

Qyira: Satu contoh adalah acara nyalaan lilin. Tidak semua yang hadir. Tetapi sebaik saja tindakan terhadap Nalina Nair dari DAP disiarkan di Instagram, semua orang buat mobilisasi, hubungi peguam dan media.

Saya begitu terkejut bila keluar dari IPD kerana saya fikir hanya ada beberapa peguam dan seorang dua kawan, tetapi begitu ramai yang ada di sana kerana SSR buat mobilisasi dengan begitu pantas.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS