mk-logo
Berita
'Kenapa kerajaan Selangor berahsia nyah warta hutan simpan Kuala Langat? '

Kumpulan alam sekitar mengkritik tindakan kerajaan Selangor dalam diam-diam menyahwartakan lebih daripada separuh hutan simpan Kuala Langat (Utara).

Penyahwartaan itu diputuskan pada bulan Mei tetapi hanya didedahkan hari ini pada sidang Dewan Undangan Negeri Selngor.

Exco alam sekitar dan hal ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor telah menyahwartakan 536.7 hektar - daripada rancangan asal seluas 930.9 hektar - selepas mempertimbangkan bantahan awam.

Tanah tersebut akan diberikan kepada syarikat swasta Gabungan Indah Sdn Bhd untuk pembangunan.

Juru kempen penglibatan awam Greenpeace Malaysia Nur Sakeenah Omar menyoal mengapa kerajaan negeri membisu mengenai langkah itu selama tiga bulan.

Dia juga bertanya mengapa penyahwartaan itu dibuat walaupun mendapat bantahan meluas.

"Mengapa keputusan ini dibuat secara rahsia?

"Mengapa keputusan ini dibuat sama sekali ketika jelas semua orang yang menghadiri sesi pendengaran awam menentang rancangan ini?

"Adakah sesi pendengaran awam hanya tabir penutup untuk mengalihkan perhatian serta meletihkan NGO, pertubuhan masyarakat sivil dan rakyat secara umum sebelum mencampakkan keputusan ini ke wajah kami? [...]

"Kami menuntut jawapan. Kami menuntut ketelusan. Kami menuntut pertanggungjawaban atas keputusan yang dibuat tanpa pengetahuan orang ramai,ā€ katanya.

Pada bulan September 2020, sebuah sesi pendengaran awam mengenai rancangan penyahwartaan hutan ini telah mendengar penolakan dan bantaran daripada masyarakat Orang Asli, NGO dan malahan agensi persekutuan.

Pada November 2020, semua Adun Selangor mengundi sebulat suara menyokong usul melindungi hutan simpan itu dan membatalkan rancangan penyahwartaan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat (Utara).

Ini ditambah pula dengan 45,423 bantahan yang diajukan terhadap rancangan tersebut, termasuk daripada badan kerajaan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jkoa) dan orgnisasi profesional Institut Arkitek Landskap Malaysia.

Jatidiri Orang Asli musnah

Aktivis Orang Asli Shahar "Shaq" Koyok mengecam kerajaan negeri kerana memudaratkan rumah dan identiti masyarakatnya.

"Hutan itu dekat kampung saya, hutan ini sebahagian jatidiri Temuan saya.

"Tidak lama lagi ia akan hilang, bersama dengan identiti Orang Asli saya," kata Shaq dalam satu siri ciapan di Twitter.

Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara (HSKLU) merupakan sumber makanan, ubat dan mata pencarian bagi masyarakat Temuan di kawasan itu.

Mereka juga menggunakan tanah di situ untuk amalan agama seperti pengebumian.

Pengerusi Klima Action Malaysia (Kamy) Ili Nadiah Dzulfakar (gambar, bawah) juga bimbang dengan nasib dan penghidupan Orang Asli.

"Kami khuatir keputusan ini dibuat di tengah-tengah wabak Covid-19 ketika kehidupan tidak menentu buat masyarakat Orang Asli yang bergantung pada Hutan Simpan Kuala Langat Utara itu.

"Keputusan untuk penyahwartaan ini tidak akan dibiarkan begitu saja tanpa dicabar oleh masyarakat sivil," katanya kepada Malaysiakini.

Kepelbagaian bio hancur

Selain kepentingan HSKLU kepada Orang Asli, hutan simpan itu juga terkenal sebagai hutan paya gambut.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meenakshi Raman berkata kerajaan Selangor "tidak bertanggungjawab" dalam membiarkan sebahagian hutan itu untuk dibangunkan.

"HSKLU, sebagai hutan gambut, adalah ekosistem yang kaya dengan karbon dan biodiversiti. 

Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara.

"Sebarang projek pembangunan di atas tanah gambut semestinya akan menyebabkan pelepasan karbon dioksida dalam jumlah yang tinggi dan kehilangan kepelbagaian biologi, termasuk spesies tumbuhan dan haiwan yang sangat terancam.

'Di sebelah barat HSKLU, terdapat beberapa komuniti Orang Asli yang bergantung kepada kesejahteraan ekosistem hutan," katanya pada satu kenyataan.

Meenaksi menegaskan pihak berkepentingan telah menggesa supaya membatalkan seluruh rancangan pembangunan itu bukan untuk mengurangi separuh keluasan hutan simpan itu.

"Akan tetapi, tuntutan daripada orang ramai adalah agar keseluruhan penyahwartaan HSKLU dibatalkan sama sekali dan bukan pengurangan saiz kawasan penyahwartaan tersebut.

"Keputusan dan pendirian negeri Selangor yang mengabaikan kepentingan awam harus dikecam, dan ia bertentangan dengan prinsip tadbir urus alam sekitar dan sosial yang baik," katanya.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS