Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Warisan Muhyiddin yang 'tak masuk akal'

Kawan-kawan, seluruh warga Malaysia yang dikasihi.

Pinjamkanlah aku duitmu...

Kejahatan seorang manusia terus hidup selepas kematiannya, kebaikannya pula bersemadi bersama tulang-belulangnya.

- Adaptasi mutiara kata petikan karya drama Julius Caesar, nukilan William Shakespeare.

ULASAN | Jadi apakah renungan pemerhati di keliling gelanggang bantahan kempen #Lawan selepas peristiwa besar yang berlaku sejak Muhyiddin Yassin mengalami 'pukulan TKO' dan undur sebagai perdana menteri?

Walaupun kita mempunyai perdana menteri baru, jelas pusat kuasa masih dalam genggaman kem Perikatan Nasional/ Umno/ Bersatu.

Pengikut pertarungan besar yang prihatin mengenai kesan perseteruan antara kaum dalam pertempuran yang melukakan itu dapat ditenteramkan atau kecewa dengan kenyataan bahawa dominasi orang Melayu terhadap sistem politik Malaysia tetap berterusan. Di sebalik semua yang digembar-gemburkan, dominasi ini tidak pernah dicabar.

Itu juga bukan hasilnya, dan sebenarnya mungkin diperkuat oleh pertarungan tersebut dan juga dalam sengketa yang akan datang.

Selepas bantahan #Lawan - sebagaimana bahan tontonan lain yang paling banyak disiarkan - pemenang telah bersikap ramah mesra dan memberikan jaminan yang menenangkan terhadap hasil pertarungan kuasa itu.

Seperti kata-kata juara baru, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan pertamanya pada 22 Ogos:

"Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum.

"Di mana, kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua. Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

"Seluruh keluarga Malaysia yang dikasihi, kita adalah sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri – sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia.

"Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan.”

Gambar fail, pertemuan PM bersama pemimpin PH.

Penonton pertarungan dan orang ramai sedar bahawa, seperti semua pidato sang juara, janji yang dibuat dengan cepat hilang dalam penterjemahan pelaksanaan dan maklum balas lanjut.

Rakyat Malaysia kenal betul bagaimana perdana menteri baru mengubah keadaan (game-changing). Dia yang bangkit dari kedudukannya dahulu dan dikatakan handal dalam jurus 'pukul curi'.

Ramai yang ingat kehandalannya dalam memenangkan pertarungan yang 'mengubah keadaan' di wilayah kejiranan mesra keluarga Malaysia seperti Plaza Low Yat dan dalam usahanya untuk menjadikan tingkah laku pengguna bersikap perkauman.

Mereka juga mengetahui kualiti pengendali ‘satu keluarga’ dan ‘ketuanan’ yang telah melatihnya. Dan rombongannya pasti akan berkongsi kegemilangan dan terutama 'ghanimah' hasil kemenangan.

Peninggalan bekas PM

Pun begitu, buat masa ini, janganlah kita lupa kepada yang kalah.

Tidak menghairankan, sesiapapun juara yang tewas akan dikritik dan dicela.

Kegagalan Muhyiddin paling baik dirakam melalui imej kibaran bendera putih untuk mendapatkan pertolongan semasa pandemik dan bendera hitam tanda bantahan terhadap kabinet besar dan tidak berkesan, toleransi berterusan terhadap salah guna kuasa dan pergantungan terhadap pendirian dolak-dalik 'ketuanan' untuk mengalihkan sebarang reformasi politik.

Tetapi kita tidak boleh melupakan tindakan positif yang mungkin dibawa Muhyiddin ke arena politik nasional.

Peminat pertarungan politik Malaysia mungkin mahu penonton gelanggang pertarungan kuasa mempertimbangkan tiga kemungkinan sumbangan Muhyiddin.

Pertama, dia bertanggungjawab memastikan bahawa salah satu rancangan dasar nasional yang paling penting akan diselesaikan: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Menteri-menteri pendidikan terdahulu telah menggunakan portfolio utama dan kementerian itu untuk memajukan agenda politik oportunis yang merosotkan dasar sehingga kita sekarang berada jauh di belakang negara jiran serantau dalam standard pendidikan dan penilaian antarabangsa.

Pemerhati berpendapat dasar pendidikan Muhyiddin, walaupun masih tidak cukup, sekurang-kurangnya memberikan kemungkinan beberapa pembaharuan.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dirancang dan selesai ketika Munhyiddin menjadi timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan.

Pelan itu hasil daripada banyak analisis, wawancara, tinjauan dan penelitian yang dilakukan pakar negara dan antarabangsa, para pegawai, guru serta ibu bapa.

Bolehkah pelan pembangunan ini menjadi landasan bagi pembaharuan pendidikan dan juga keluarga Malaysia yang inklusif bermula dengan golongan muda?

Pihak yang selamanya optimis akan menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia menyedari peri pentingnya memartabatkan dan menyokong sekolah vernakular yang menjadi sasaran lobi golongan ultra-nasionalis yang tidak berpandangan jauh itu.

Rancangan pendidikan juga membuat komitmen berikut: Kementerian akan mengembangkan dan melaksanakan prinsip-prinsip yang telus dan adil untuk peruntukan bantuan kewangan dan sokongan lain kepada semua jenis sekolah. Prinsip-prinsip ini selaras aspirasi sistem pendidikan untuk menyediakan akses kepada semua, kualiti, keadilan, penyatuan dan kecekapan.

Kedua, pemerhati juga menyatakan Muhyiddin setakat ini menolak campur tangan politik terhadap kehakiman atau kelompok lain yang mungkin melanggar atau menggugat kedaulatan undang-undang atau kebebasan kehakiman.

Muhyiddin pada 12 Januari tahun lalu berkata: “Badan kehakiman akan terus menjadi mercu keadilan di negara kita dan saya tidak akan campur tangan dalam urusan mahkamah. Ini ikrar saya,” katanya.

Pendirian berprinsip ini mungkin menjadi punca kejatuhannya.

Walaupun dia mungkin belum lagi mengulang langkah "Sheraton", paling tidak untuk saat ini, hal tersebut berfungsi sebagai peringatan kepada para pesaing dalam gelanggang politik kita tentang pentingnya mematuhi peraturan standard pertarungan - walaupun mereka berisiko kehilangan undi dan kalah perebutan kuasa.

Juga, sebagai peringatan kepada para pemenang bahawa kamu akan selalu dipantau untuk memastikan sistem kehakiman dan perundangan kami tidak dibeli, terjejas atau mendapat nama buruk.

Ketiga, tawaran reformasi Muhyiddin untuk menamatkan kemelut politik dan kebuntuan mungkin telah gagal. Ia dikritik sebagai terlambat dan cuma sekadar helah politik, namun tawaran sedemikian belum pernah terjadi sebelum ini.

Bahkan mungkin terbukti tawaran itu sesuatu yang bersejarah dalam usaha mencapai kata sepakat antara parti-parti yang boleh menyebabkan terbentuknya kerajaan perpaduan demi kemaslahatan negara menjadi lebih baik dan selamat ketika waktu pandemik yang mencabar ini.

Barangkali penganalisis veteran pertarungan kuasa akan memiliki pendapat yang sangat berbeza mengenai kemungkinan ini.

Masih terlalu awal untuk menilai kejatuhan Muhyiddin.

Tetapi walaupun dia tidak bertahan atau memutuskan meninggalkan politik dengan kehendaknya sendiri, sejarawan mungkin menilai dia lebih baik berbanding para perdana menteri kita sebelum ini atas warisan tidak masuk akal dan tidak munasabah yang telah ditinggalkan kepada negara, perdana menteri baru dan pemimpin politik lain untuk dikembang dan diteruskan.


LIM TECK GHEE ialah ahli sejarah, bekas penasihat serantau PBB, World Bank dan penulis buku Challenging Malaysia’s Status Quo.

Artikel ini terjemahan bebas tulisan asal berjudul "Muhyiddin's improbable, implausible legacy" dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS