Paling Popular
Terkini

Kita menyambut kemerdekaan kali ke-64 dengan sederhana, dengan norma baharu di sebabkan wabak epidemik Covid-19 yang masih menyerang.

Begitu juga dengan kemelut politik dan kemelesetan ekonomi di samping pelbagai masalah lagi.

Malaysia Prihatin sekali lagi menjadi temanya. Ia dipilih bagi menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan warga Malaysia mengharungi cabaran dan dugaan wabak Covid-19.

Pada hari merdeka kita kehilangan seorang pemikir Melayu iaitu Profesor Dr Siddiq Fadzil. Beliau meninggal dunia pada jam 6.32 petang pada 31 Ogos 2021.

Beliau adalah Tokoh Maal Hijrah 1440H/2018M, bekas presiden Abim selain Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Saya pernah berkhidmat sekejap dengan PKPIM.

Sempena hari merdeka saya teringat ungkapan Siddiq Fadzil mengenai kepelbagaian yang melambangkan negara Malaysia dengan pelbagai bangsa dan kaum.

Kepelbagian suatu yang indah dan boleh membawa manfaat kepada umat Islam dan seluruh warga.

Syarahan Siddiq Fadzil berbeza sekali dan bertepatan dengan pendapat saya - seorang yang datang daripada percampuran keturunan, Melayu dan Cina.

Saya banyak membaca dalam kumpulan Whatsapp betapa bencinya orang Melayu dengan orang Cina dan orang India.

Sikap Siddiq Fadzil sangat berbeza dan berlainan sekali dengan segolongan umat Islam yang mengaku warak atau beriman dan sangat membenci perbezaan hidup dan ritual bangsa lain.

Dalam satu syarahan, Siddiq Fadzil menegaskan:

“Budaya hidup bersama harus berpangkal dari sikap positif terhadap kepelbagaian. Seperti yang dinyatakan oleh Abdullah Bayyah bahawa untuk menangani masalah kepelbagaian dan pluraliti, perlu ada sikap menghormati dan menyenangkan kepelbagaian. Justeru, kepelbagaian adalah kekayaan dan keindahan. Demikianlah hakikatnya, kepelbagaian (bahasa dan bangsa) adalah bahagian daripada ayat-ayat Allah dalam erti penyerlahan hikmah ciptaan Tuhan dan penjelmaan keindahan nikmat kurnia-Nya.

“Andainya kepelbagaian diurus dan dikendalikan dengan bijaksana, ia akan menghasilkan kesalingan yang produktif – saling memperkaya dan memperkasa.”

Erti “taaruf”

Cetusan yang sama dengan saya untuk menghormati dan menyenangkan kepelbagaian dalam masyarakat majmuk. Kepelbagaian perlu disenangi dan ditoleransikan, bukan diterima dengan perasaan hina, meluat dan keji.

Kenapa kita harus menghina, meluat dan mengeji sesama manusia? Bukankah kepelbagaian itu sendiri ciptaan Tuhan yang Maha Adil?

Siddiq Fadzil mentakrifkan erti “taaruf” atau saling mengenal antara satu kaum dengan kaum yang lain.

Bahasa Melayu dipengaruhi lebih 10 ketamadunan manusia yang berbeza agama, budaya dan gaya hidup sejak lama.

Siddiq Fadzil mengegaskan:

“Perbezaan tidak bererti permusuhan, tetapi kekuatan dan kekayaan budaya. Kata kunci dalam memahami tujuan penciptaan kepelbagaian (bangsa dan kaum) ialah lafaz ‘lita’arafu’ dalam surah Al-Hujurat ayat 13 yang biasanya diterjemahkan sebagai “untuk saling mengenal”.

Tetapi tentu sahaja tidak sebatas saling mengenal.

Taaruf (saling mengenal) pasti ada kelanjutannya iaitu saling bekerjasama, saling memanfaatkan, saling memperkaya, saling memperkasa dan seterusnya. Kerana itu kata ‘lita’arafu’ difahami dengan dua makna: saling mengenal dan saling berinteraksi serta hidup bersama secara damai dan harmoni.”

Sebenarnya kita telah gagal menggembleng keistimewaan setiap bangsa dengan kitaran yang tidak ke mana. Ramai melontar kehinaan terhadap perbezaan bangsa dan diterima oleh yang lain yang satu bangsa. Hanya atas dasar kepelbagaian fahaman sempit berjaya menanam bibit permusuhan yang berakar umbi.

Berdialog haruslah mempunyai kelapangan untuk menerima pandangan berbeza. Salah beranggapan bahawa dialog sebagai menyuruh atau memerintah bangsa lain mengikut sahaja arahan kerana kita yang mula-mula sekali datang ke Malaysia.

Kesediaan berdialog dengan erti makna yang lebih komprehensif dan adil:

“Menerusi dialog yang intensif dan ekstensif semua pihak dapat saling memahami dan seterusnya saling menghormati. Dialog yang sihat dan produktif hanya mungkin terlaksana jika didasari kesediaan menerima orang lain, dan bukan hanya orang lain, tetapi orang lain yang berbeza. Menerima orang lain yang berbeza tidak seharusnya menjadi masalah kerana premisnya adalah menghormati perbezaan dan menyenangi perbezaan sebagaimana yang disebutkan di atas.

“Dialog dalam masyarakat berbeza kaum, agama dan budaya akan pertemukan pelbagai sudut pandangan dan seterusnya menghasilkan rumusan yang mantap untuk menangani masalah bersama.”

Baik sangka

Ramai orang Melayu merasakan tidak perlu berbaik sangka kepada orang bukan Melayu dan Islam. Ini tidak dipersetujui oleh Siddiq Fadzil.

Prinsip umat Islam yang mengikut untuk berbuat baik sebagai balasan pada orang bukan Islam yang berbuat baik:

“Melayani pihak lain, siapa pun mereka, termasuk yang berbeza agama harus berasaskan prinsip keadilan dan kebaikan. Demikianlah mesej ayat 8 surah Al-Mumtahanah yang menyebut tahap minimum pelayanan terhadap orang bukan Islam ialah memberikan keadilan, dan selebihnya adalah berbuat kebaikan terhadap mereka. Pesan Al-Quran ini dapat membina asas kesediaan umat Islam untuk menyumbang kepada realisasi matlamat hidup bersama, berdampingan secara harmoni dengan golongan bukan Islam.

“Sesuai dengan undang-undang ‘akhlaqi’ bahawa kebaikan akan disambut dengan kebaikan, penegakan prinsip keadilan dan nilai bakti kemanusiaan akan mewujudkan budaya kesalingan dalam masyarakat yang berbeza kaum, agama dan budaya. Justeru, keadilan dan bakti kemanusiaan akan mendapat appresiasi semua pihak kerana ia adalah nilai yang dikongsi bersama oleh seluruh warga masyarakat majmuk.”

Kita harus mentafsirkan nilai keinsanan Islam yang sejati dan padu. Selalu mendengar khutbah yang mengutuk orang bukan Islam sebagai insan yang buruk dan dikeji perlakuanya. namun demikian Ingatlah manusia semulia-mulia makhluk dan tidak harus dihina dengan seburuk-buruknya.

“Umat Islam memang seharusnya mampu meyakinkan pihak lain dengan nilai-nilai unggul akhlak kemanusiaan. Nilai-nilai unggul yang dibuktikan dengan amal nyata pasti akan merangsang pihak lain berbuat yang sama. Antara nilai unggul yang harus sentiasa dijunjung tinggi ialah nilai kemuliaan insan.

“Manusia adalah makhluk mulia, terlepas dari persoalan bangsa, agama dan budayanya. Kemuliaan insan adalah kurnia Tuhan yang bererti Tuhan sendiri yang memuliakan manusia, dan kerana itu tidak siapa pun yang berhak menghina manusia dengan cara apa pun.

“Sebagai makhluk mulia, maruahnya harus dilindungi dan kebebasannya harus dijamin. Manusia tidak boleh diaibkan dan tidak boleh dibelenggu atau dipenjara tanpa dasar undang-undang yang adil.”

Untuk itu sebagai manusia yang berdarah campuran, saya melihat bukan pada warna kulit dan bahasa, tetapi pada keujudan sebagai manusia untuk menumpang di kesementaraan di dunia ini dalam kepelbagaian masyarakat majmuk, iaitu keluarga Malaysia!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR, pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS