Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Syarikat modal RM1 dapat hak bangunkan hutan simpan Kuala Langat

Pada Isnin lalu, orang ramai dikejutkan dengan pendedahan bahawa kerajaan Selangor telah memindahkan separuh daripada Hutan Simpan Kuala Langat Utara kepada sebuah syarikat swasta.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan hal itu pada 5 Mei, tetapi hanya didedahkan tiga bulan kemudian semasa sidang DUN Selangor.

Sidang DUN diberitahu yang Gabungan Indah Sdn Bhd - sebuah syarikat yang kurang dikenali - diberikan hak untuk membangunkan sebahagian kawasan hutan paya gambut itu bagi tujuan projek pembangunan bercampur.

Namun apa yang diketahui adalah Gabungan Indah bukanlah syarikat yang mula-mula dahulu dicadangkan untuk membangunkan tanah itu.

Pemaju bertukar

MMKN pertama kali mencadangkan penyahwartaan hutan berkenaan pada 19 Oktober 2019.

Pada Februari 2020, Jabatan Perhutanan Selangor menyiarkan notis pemberitahuan berkenaan rancangan penyahwartaan itu di media.

Dua syarikat - Titian Jutaria Sdn Bhd dan Menteri Besar Incorporated (MBI) - kemudiannya didedahkan sebagai pemaju yang dicadangkan.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Idris Shah merupakan antara pengarah Titian Jutaria manakala MBI adalah syarikat milik kerajaan negeri dan dipengerusikan Menteri Besar Amirudin Shari.

Pada Mac 2020, Amirudin memberitahu sidang DUN bahawa Titian Jutaria dan MBI perlu membayar premium sekitar RM323,774,578 untuk hak ke atas tanah tersebut.

Pada September 2020, exco kerajaan negeri Hee Loy Sian berkata MBI kekal sebagai pemaju tunggal untuk membangunkan tanah berkenaan.

Kini, kedua-dua syarikat itu nampaknya sudah tiada lagi dalam projek berkenaan.

Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan bahawa Titian Jutaria yang ditubuhkan pada Disember 2018, telah dibubarkan.

Semasa sidang DUN pada Isnin lalu, Hee tidak menjelaskan bila atau mengapa perubahan pemaju itu dibuat.

Dia juga tidak menjelaskan berapa banyak premium tanah yang harus dibayar pemaju yang baru.

Hubungan politik, pembalakan

Gabungan Indah agak baru ditubuhkan - pada 2 November 2020 - dengan modal berbayar RM1.

Satu-satunya pengarah syarikat itu ialah Mohd Fadil Muskon, ketua pemuda Umno Johor pada 2009 hingga 2012. Tidak banyak yang diketahui mengenai aktiviti politik terbarunya.

Jenis perniagaannya yang tertera ialah sebagai syarikat pemegangan (holding company) untuk eksport dan import barangan tidak khusus dan juga untuk urusan hartanah kediaman.

Gabungan Indah dimiliki Vibrantscape Sdn Bhd - juga agak baru ditubuhkan (12 Disember 2020) dengan modal berbayar RM1.

Vibrantscape dimiliki sepenuhnya oleh Perdana Parkcity Sdn Bhd.

Ketiga-tiga syarikat berkongsi alamat berdaftar yang sama sementara CEO Perdana ParkCity Joseph Lau, juga merupakan pengarah tunggal Vibrantscape.

Perdana Parkcity merupakan pemaju hartanah prolifik yang pernah memenangi anugerah, terkenal dengan perbandaran Desa ParkCity yang luas dan mewah di Kepong, Kuala Lumpur.

Ia merupakan cabang pembangunan hartanah untuk Samling Group, sebuah konglomerat yang beribu pejabat di Miri, Sarawak, dengan kepentingan meluas dalam perladangan dan pembalakan.

Pemaju mesti penuhi kriteria

Keseluruhan Hutan Simpan Kuala Langat Utara pada asalnya berkeluasan 991.9 hektar.

Kerajaan negeri telah mengeluarkan 536.8 hektar (54 peratus) - bersamaan dengan luas 865 padang bola.

Daripada keluasan itu, Gabungan Indah diberikan 494.7 hektar.

Rancangan asal kerajaan negeri adalah untuk mengeluarkan 930 hektar (97 peratus) daripada status hutan simpan.

Semalam, peta kawasan yang telah dinyahwartakan yang disiarkan Jabatan Perhutanan Selangor menunjukkan separuh Hutan Simpan Kuala Langat Utara (bahagian utara) diuntukkan untuk pembangunan.

Jabatan itu turut mengumumkan beberapa kriteria yang dikenakan ke atas Gabungan Indah.

Ini termasuklah mengekalkan 20 peratus daripada kawasan yang telah dinyahwartakan sebagai “kawasan hijau”.

“Antaranya (syarat-syarat) adalah keperluan kajian impak alam sekitar (EIA), kajian impak sosial (SIA), dan lain-lain syarat yang berkaitan …

“... [Ini] termasuklah pengekalan sebanyak 20 peratus daripada kawasan pembangunannya sebagai kawasan hijau serta keperluan translokasi spesis-spesis flora dan fauna yang berkepentingan,” kata jabatan itu dalam kenyataan semalam.

Jabatan itu menjelaskan bahawa ia meluluskan penyahwartaan itu kerana kawasan hutan berkenaan berisiko tinggi untuk terbakar dan mengalami kemerosotan mutu akibat beberapa kali terbakar pada 2012, 2013, 2014, 2017 dan 2021.

“Hutan Simpan Kuala Langat Utara merupakan hutan yang terpisah daripada kompleks hutan utama dan mengalami tekanan pembangunan tanah tepu bina di sekelilingnya seperti Lebuhraya Elite, Bandar Saujana Putra dan Gamuda Cove,” tambahnya.

Ketika pendengaran awam yang diadakan pada September 2020, pemegang taruh mempertikaikan penegasan kerajaan negeri bahawa kawasan hutan simpan itu telah mengalami kemerosotan dan mudah terbakar.

Seorang pegawai daripada Seksyen Pengurusan Hutan Lembap Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia memaklumkan bahawa sebanyak kira-kira RM2.2 juta dana awam telah dilaburkan untuk pemuliharan, termasuk membangunkan kemudahan pencegahan kebakaran di hutan simpan itu.

NGO alam sekitar pula berhujah bahawa hutan itu merupakan habitat paya gambut berharga buat beruang matahari Malaya, tupai terbang pigmi Selangor, ikan laga merah Langat dan pokok meranti.

Perkampungan Orang Asli di sekitar juga turut membantah penyahwartawaan itu.

Pada November 2020, semua Adun Selangor telah mengundi sebulat suara menyokong usul melindungi semua hutan simpan di negeri itu.

Rundingan terbuka tak diperlukan

Bercakap kepada Malaysiakini, Adun Banting Lau Weng San (gambar) berkata kerajaan negeri tidak perlu memulakan proses tender sebelum memindahkan tanah kerajaan negeri kepada pemaju.

Lazimnya, pemaju swasta akan membuat cadangan untuk mengambil alih tanah kerajaan negeri dan kerajaan negeri akan membuat pertimbangan.

Dengan itu, Lau menggesa kerajaan negeri untuk mendedahkan perincian syarikat di sebalik projek berkenaan dan sama ada ia mampu untuk membayar premium yang besar jumlahnya.

“Saya turut mencadangkan satu misi mencari fakta.

“Penggubal undang-undang dan exco negeri boleh melawat kawasan itu (hutan simpan) dan lihat sendiri apa yang dipertaruhkan,” katanya.

Ahli parlimen DAP itu antara sejumlah yang membantah penyahwartaaan berkenaan semasa sidang DUN pada 30 Ogos.

Sejak itu semakin ramai Adun PH menggesa agar Selangor menarik balik penyahwartaan berkenaan.

PKR - parti yang dianggotai Amirudin dan Hee - turut memanggil mereka untuk memberikan penjelasan.

Amirudin dikatakan memberi jaminan untuk menangguhkan proses penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara sehingga isu berbangkit dapat dipertimbangkan dan dijelaskan.

Malaysiakini sudah menghubungi pejabatnya untuk mendapatkan pengesahan berkenaan perkara itu.

Sementara itu, Pusat Bagi Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menyuarakan kebimbangan berhubung kurangnya ketelusan dalam urusan penyahwartaan itu.

Pengarah eksekutifnya Cynthia Gabriel mempersoalkan kenapa pembangunan kawasan itu membabitkan shell company (syarikat tanpa aktiviti atau aset tertentu) dengan modal berbayar hanya RM1.

“Entiti swasta yang akan mendapat manfaat daripada penyahwartawaan ini mestilah dipilih berdasarkan merit dalam cara yang telus tanpa pengaruh tidak wajar dalam prosedur kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Cynthia menggesa kerajaan negeri untuk menyiarkan laporan teknikal ke atas hutan simpan itu secara terbuka dan menarik balik keputusannya.

“Jelaskan bagaimana keputusannya dibuat, cara mencurigakan ia dilakukan, dan alasan kenapa isu itu dirahsiakan selama tiga bulan.

“Adakah ada tangan-tangan berkuasa (higher hands) yang terlibat, dan siapa sebenarnya yang terlibat?” soalnya. 

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS