Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek Empangan Nenggiri akan hapuskan identiti Orang Asli, kata JKOAK

Sebarang percubaan untuk meneruskan pembinaan Empangan Nenggiri di Gua Musang, Kelantan, sama seperti menghapus identiti masyarakat Orang Asli dan hubungan mereka dengan alam sekitar, menurut sebuah kumpulan yang menentang projek hidroelektrik itu.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Mustafa Along berkata, cadangan projek itu akan menyaksikan kehilangan hutan, gua batu kapur dan kampung-kampung di sekitarnya yang seluas 5,384 hektar atau 13,304 ekar.

Selain tidak mendapat akses ke kawasan hutan, Mustafa berkata terdapat sekurang-kurangnya tiga pahlawan Orang Asli yang ditanam di kawasan yang terjejas itu, serta kubur-kubur yang terletak di tanah nenek moyang mereka.

"Ini adalah satu bentuk pembasmian bukti mengenai kewujudan Orang Asli di sini (di Gua Musang)," kata Mustafa ketika forum yang dianjurkan oleh kumpulan alam sekitar Klima Action Malaysia (Kamy) malam tadi.

Katanya, sebarang rundingan yang dimulakan oleh pemaju projek itu, iaitu Tenaga Nasional Berhad telah gagal mempertimbangkan suara mereka dalam menentang projek tersebut, yang kini mempunyai lebih 3,000 Orang Asli di kawasan sekitarnya.

Mustafa juga berkata Orang Asli di empat penempatan yang telah ditanda untuk penempatan semula hanya diberitahu tentang pampasan yang ditawarkan oleh pemaju projek, tetapi ia gagal memaklumkan tentang kerugian yang bakal dihadapi mereka.

"Orang Asli mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan hutan. Mereka diberitahu tentang apa yang akan ditawarkan jika mereka menerima projek itu, tetapi isu-isu seperti kehilangan akses ke hutan, hak atas tanah adat - ini semua tidak pernah dibincangkan," katanya.

 

Aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) B Suresh Kumar, yang juga salah seorang panel di forum itu berkata, dia berdepan dengan masalah yang sama berhubung kurangnya sesi rundingan dalam menentang projek empangan hidroelektrik Telom di Cameron Highlands, hingga akhirnya ia dibatalkan.

Menurut Suresh keputusan pembinaan empangan hidroelektrik Telom itu dibuat dan didesak terhadap Orang Asli di Pos Lanai.

"Sekarang kita lihat situasi yang sama berulang dalam projek empangan Nenggiri ini," kata Suresh, yang merupakan calon PSM di Cameron Highlands pada pilihan raya umum ke-14.

Ketika menjawab soalan, Mustafa menolak persepsi bahawa Orang Asli yang menentang pemusnahan hutan untuk projek pembangunan menentang pemodenan.

Menyifatkannya sebagai tidak berasas, Mustafa menegaskan kebimbangan utama mereka adalah kehilangan identiti Orang Asli yang berkait rapat dengan hutan.

"Siapa yang tidak mahukan pembangunan? Pada masa yang sama, kita tidak mahu pembangunan yang menghapuskan identiti kita.

"Walaupun kita pandu Mercedez Benz, kita masih Orang Asli. (Anda) beri kita rumah baru, tetapi jika hutan kita musnah, tak ada gunanya.

"Kami mahukan pembangunan, kemodenan, kemajuan, tetapi kehilangan identiti kami adalah harga yang terlalu tinggi untuk dibayar," kata Mustafa, yang telah mengetuai penentangan terhadap pembinaan Empangan Nenggiri, iaitu ia pertama kali dicadangkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 pada tahun 2015.

 

Penelis ketiga dalam forum tersebut merupakan ahli akademik dan pengasas bersama Resource Stewardship Consultants, Lim Teck Wyn, yang mengatakan hujah yang digunakan untuk menyokong pembinaan empangan Nenggiri tidak meyakinkan.

Dia berkata ini termasuk tujuan pembinaan empangan itu dapat mencegah banjir besar, kerana tidak ada cara untuk meramalkan kawasan mana akan menerima hujan yang lebih banyak. 

"Saya belum melihat perlunya empangan mega ini. Saya tidak melihat justifikasinya. Jika kita lihat penyebab utama banjir, itu adalah (kerana) pemendapan sungai akibat pembalakan," kata Lim, yang mempunyai kepakaran dalam ekologi hutan tropika.

Bulan lalu, Mustafa dan JKOAK telah menolak tawaran dari kerajaan negeri Kelantan untuk membayar pampasan kepada penduduk kampung yang terlibat dengan projek tersebut.

Mereka menyifatkan pampasan yang diberikan oleh kerajaan negeri juga tidak memadai kerana hanya melibatkan tanaman-tanaman yang musnah tanpa mengambil kira pampasan ke atas Tanah Adat yang akan terjejas.

Sebelum ini, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Azami Mohd Nor yang mengatakan kerajaan Kelantan akan memberikan pampasan, peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat Orang Asli yang terjejas dalam projek berkenaan.

Fasa pembinaan terakhir dijangka akan dimulakan pada Mac tahun depan.

Sebelum ini, laporan polis terhadap isu itu telah menghentikan semua kerja pembinaan empangan Nenggiri dan Lebir di Kelantan, yang menyebabkan TNB kembali ke meja rundingan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS