Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kumpulan anak muda bidas dasar 'diskriminasi' kemasukan ke MRSM
Diterbitkan:  Sep 5, 2021 2:48 PM
Dikemaskini: 6:48 AM

Gerakan anak muda yang dinamakan Sekolah Semua membidas dasar terbaru kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MARA) yang menyatakan hanya pelajar dari sekolah kebangsaan akan diterima masuk ke sekolah itu bagi sesi pengambilan 2022.

Menyifatkan langkah itu sebagai "diskriminasi", Sekolah Semua berkata mereka kesal kerana pelajar dari sekolah bukan kebangsaan tidak dibenarkan belajar di MRSM.

“Dasar kemasukan ini akan menghalang kemasukan pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera yang bersekolah di sekolah vernakular, sekolah aliran Islam, dan institusi swasta.

"Pelajar akan didiskriminasi berdasarkan pilihan pendidikan yang berkaitan dengan keperluan bahasa, agama, sosio-ekonomi dan pendidikan khas," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan berbahasa Inggeris hari ini.

Katanya, pengecualian kepada pelajar daripada memohon sekolah berdasarkan kriteria adalah bertentangan dengan semangat Perkara 12 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan. 

Perkara 12 (1) (a) menyatakan "tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir dalam pentadbiran mana-mana institusi pendidikan yang disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam, dan, khususnya, kemasukan murid-murid atau pelajar-pelajar atau pembayaran fi".

Sekolah Semua berkata hal itu akan merugikan pelajar MRSM dan menghakis perpaduan kaum di negara ini.

"Sekolah Semua mengutuk keras dasar ini, sama ada sengaja atau tidak sengaja, yang membawa kepada pengasingan lebih jauh di negara ini," kata mereka.

Justeru, mereka mendesak Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Kementerian Pendidikan memberikan penjelasan mengenai dasar kemasukan terbaru ini.

"Kami melaungkan seruan untuk Keluarga Malaysia yang sebenarnya, yang tidak mengecualikan anggotanya daripada diterima di 'rumah' mereka," katanya.

Lihat Komen
ADS