Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad: Imej gagal Muhyiddin akan hantui k'jaan Ismail Sabri
Diterbitkan:  Sep 5, 2021 9:24 PM
Dikemaskini: 1:25 PM

"Walhasil balik asal," begitu luah Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Puad Zarkashi menyebut dakwaan pentadbiran pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mungkin adalah kerajaan Perikatan Nasional.

Puad menyoal bagaimana bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin boleh dilantik sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

Soalnya lagi, adakah pelantikan itu dilakukan secara sukarela oleh Ismail Sabri atau ia diarahkan oleh Muhyiddin sendiri.

“Bagaimana Muhyiddin terlantik? Apakah dia menekan Ismail Sabri. Atau Ismail Sabri lantik dengan sukarela kerana percaya Muhyiddin bukan perdana menteri gagal sebelumnya?

“Kalau dipaksa kerana syarat sokongan Bersatu, itu bermakna Ismail akan jadi perdana menteri “terkawal” dan merelakan ini adalah Kerajaan PN 2.0

“Apakah Majlis Pemulihan Negara mempunyai bidang kuasa yang besar?

"Pasti akan ada ‘term of reference’ yang menjadikannya lebih ‘berautoriti’,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, sekiranya perkara sedemikian berlaku, Ismail Sabri sebenarnya tidak mempunyai kebebasan dalam menguruskan negara selaku perdana menteri.

Dakwanya, kestabilan tidak dapat diwujudkan. Sebaliknya amalan mainan politik akan berterusan.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali yang juga setiausaha kabinet memaklumkan bahawa Muhyiddin dilantik sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri.

Sebelum ini, muncul desas-desus Muhyiddin akan dilantik sebagai menteri mentor selepas dia meletak jawatan perdana menteri.

“Lantikan itu juga menyelamatkan Bersatu. Parti itu kembali kuat dalam kerajaan. Bersatu ada ruang tawar menawar untuk mengikat Umno dalam agihan kerusi untuk PRU ke-15.

“Itu satu isu. Isu besar sekarang ialah imej gagal Muhyiddin akan menghantui kerajaan baru PM ke-9.

“MT Umno sudah mengingatkan, jangan dihidupkan imej kerajaan PN 2.0,” tegas Puad.

Lihat Komen
ADS