Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Ekosistem masyarakat Islam memerlukan penganutnya bukan sahaja mambaca dan menghafaz Al-Quran, bahkan lebih utama memahami dan mengamalkan Al-Quran dalam kehidupan sehari-hari. Idealisma ini dicernakan melalui penubuhan banyak pusat-pusat tahfiz Al-Quran samada dikendalikan oleh kerajaaan, orang perseorangan, institusi-institusi pendidikan swasta dalam dan juga luar negara.

Dianggarkan terdapat kira-kira 1,400 – 1,600 pusat tahfiz berselerak di seluruh negara berdasarkan maklumat dari dua persatuan tahfiz di Malaysia iaitu Gabungan Persatuan Institut Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta) dan Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata) dengan bilangan pelajar tahfiz seramai 24,045 pelajar.

Bilangan itu dipercayai lebih banyak lagi daripada yang dilaporkan. Namun pusat-pusat tahfiz kini dilaporkan nazak. Kebanyakannya pusat tahfiz persendirian. Kebanykannya nazak disebabkan beban kewangan seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan baru-baru ini.

Kebanyakan pusat tahfiz terutama persendirian bergantung kepada sumbangan dan waqaf dari orang ramai yang memangnya bersedia untuk menambah saham akhirat mereka.

Ada juga cadangan yang dilontarkan di akhbar jika sekiranya 8 juta umat Islam menyumbang sebanyak RM2 seorang dan dengan jumlah terkumpul iaitu RM16 juta sebulan boleh memberi nyawa semula kepada pusat-pusat tahfiz yang nazak tersebut.

Cadangan ini serupa dengan masyarakat Islam Singapura yang menyumbangkan SG$1.00 dari tabungan EPF mereka setiap bulan dalam fasa pertama pembinaan masjid-masjid moden di republik itu.

Seperti Singapura, cadangan sumbangan orang ramai itu perlukan satu badan formal untuk menguruskan dana tersebut dengan telus dan berintegri . Ini melibatkan kakitangan, proses, sistem akaunting supaya setiap ringgit barakah dan bermanfaat dunia dan di akhirat.

Kedudukan kewangan teratur

Seperti keseluruhan struktur ekonomi, sosial dan politik dunia, faktor utama yang menyebabkan kantong pusat-pusat tahfiz kering ialah pandemik Covid-19. Kalau negara yang mempunyai sistem dan kedudukan kewangan yang teratur boleh terjejas, inikan pula organisasi yang tidak memiliki struktur dan pendapatan tetap?

Kebanyakan pusat-pusat tahfiz beroperasi melalui hasil yuran bulanan daripada ibu bapa dan juga sumbangan/waqaf orang ramai. Bayaran yuran dan sumbangan yang tidak konsisten ditambah pula pusat-pusat tahfiz yang tidak mempunyai pendapatan sampingan sangat menyumbang kepada krisis yang mengancam nyawa pusat-pusat tahfiz berkenaan.

Apakah yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan pusat-pusat tahfiz? Penderma juga mungkin terkesan dengan Covid-19. Mungkin ada di kalangan ibu-bapa pelajar tahfiz yang kehilangan pekerjaan, tidak kurang yang terpaksa dirawat di hospital dan ada juga pelajar tahfiz yang kehilangan kedua orang tuanya.

Pascapandemik ini merupakan masa yang sesuai untuk menilai kembali atau 'reset' pusat-pusat tahfiz agar lebih mandiri dan berdaya maju. Selain dari aspek kewangan, aspek-aspek lain yang menjurus kepada kelestarian pusat-pusat tahfiz perlu dilihat dengan saksama.

Antaranya ialah asas kepada kejayaan sesebuat pusat tahfiz itu sendiri iaitu tenaga pengajar yang mencurahkan tenaga, kurikulum, pengurusan dan pentadbiran serta pengurusan kewangan terutama sumber pendapatan dan bagaiman ianya dibelanjakan.

Kelayakan minimum tenaga pengajar

Perlu ada satu program khas untuk memastikan tenaga pengajar dan pengetua mempunyai kelayakan minimum dari segi kelulusan dan akhlak. Kerana biasanya pelajar tahfiz ini ‘boarding’, tenaga pengajar memainkan peranan bukan sahaja dari segi hafalan dan ilmu alquran tetapi juga etik dan sahsiah pelajar. Kes-kes kesalahan akhlah di pusat tahfiz harus dijauhkan dan tidak berulang.

Selain daripada itu, pusat tahfiz harus menggunakan program dan modul yang membolehkan sijil khas tahfiz diiktiraf. Sijil ini boleh dikendalikan olah Jakim atau Darul Quran yang mempunyai sistem yang baik dalam program tahfiz di Malaysia.

Ini termasuklah aspek silibus khusus dan standard untuk keseluruhan pusat-pusat tahfiz untuk memudahkan lagi pemantaun kualiti produk huffaz yang dihasilkan. Dengan ini perpindahan seorang pelajar tahfiz atau tenaga pengajar dari satu pusat tahfiz ke pusat tahfiz yang lain dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

Seperti yang berlaku kepada bank-bank di Malaysia selepas krisis kewangan Asia di tahun 90-an, perkara serupa mungkin boleh diaplikasi kepada pusat tahfiz-pusat tahfiz kecil dan persedirian di Malaysia.

'Reset' pusat tahfiz pasca-Covid-19 mungkin dilakukan dengan kerajaan mengarahkan penggabungan pusat beberapa tahfiz kecil dan persendirian menjadi beberapa buah yang besar dengan sistem pembelajaran yang diiktiraf, sistem pengurusan yang teratur dan sistem kewangan yang diaudit dan disahkan.

Hanya pusat tahfiz yang berdaftar sahaja yang menepati piawaian yang ditetapkan yang layak menerima bantuan kerajaan dan orang ramai. Kerajaan dan Jabatan Agama Negeri harus tegas supaya pusat-pusat tahfiz pasca Covid-19 terkawal, nasib anak tahfiz terbela dan mutu graduan pusat tahfiz diktiraf dan laku.

Wakaf umat Islam

Tidak dinafikan sumbangan masyarakat kepada pusat-pusat tahfiz dalam berbagai bentuk walaupun dalam suasana pandemik ini. Antaranya ialah dalam bentuk wakaf. Wakaf tanah, bangunan, kenderaan dan sebagainya.

Sumbangan wakaf mestilah diuruskan dengan baik secara berpusat agar harta wakaf yang boleh disusun dan dimanfaatkan untuk kegunaan keseluruhan pusat-pusat tahfiz di negeri-negeri dimana harta wakaf itu didaftarkan.

Ini juga bagi menjamin harta dan aset yang diwakafkan tidak didaftarkan atas nama peribadi yang merugikan pusat-pusat tahfiz dan disalahgunakan terutama jika pusat tahfiz ditutup satu hari nanti.

Ini yang pernah berlaku di mana sumbangan wakaf ke pusat tahfiz bukan atas nama yayasan atau Pejabat Agama Islam Negeri tetapi wakaf tersebut didakwa kepada individu seperti pengasas dan pengelola sesebuah pusat tahfiz.

Hatta apapun harta atau aset yang dibeli dan diwakafkan seperti kenderaan, hartanah dan banguna dan lain-lain hendaklah didaftarkan atas nama pusat-pusat tahfiz, yayasan atau Majlis Agama Islam negeri.

Pendaftaran harta wakaf berpusat ini akan menjamin tadbir urus yang baik, ketelusan pentadbiran pusat-pusat tahfiz dan menambah lagi keyakinan masyarakat untuk melaksanakan amal jariah.

Bila beban kewangan telah berkurangan, pusat tahfiz boleh meningkatkan fokus kearah melahirkan graduan-graduan tahfiz yang berkualiti yang bukan sahaja untuk menjadi imam-imam rawatib di masjid dan surau tetapi menjadi ahli masyarakat yang berperanan melahirkan generasi rabbani di mana sahaja mereka berkhidmat. 


DR AHMAD ZAINUDDIN merupakan Pengerusi, Ahli Lembaga Koop Islah Malaysia Berhad.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS