mk-logo
Berita
PM perlu arah AG batal rayuan keputusan mahkamah kes status kerakyatan
Diterbitkan:  Sep 14, 2021 11:23 AM
Dikemaskini: 3:23 AM

Pemimpin DAP menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya mengarahkan Peguam Negara menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah berhubung status kewarganegaraan automatik kepada bayi yang dilahirkan di luar negara oleh ibu kandung rakyat Malaysia selarang dengan semangat "Keluarga Malaysia".

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata konsep "Keluarga Malaysia" sedang diuji oleh keputusan Peguam Negara untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

"Saya menyeru perdana Menteri supaya segera mengarahkan Peguam Negara untuk menarik balik keputusan mengemukakan rayuan serta memastikan Kementerian Dalam Negeri menghormati dan melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi.

"Episod ini sahaja sudah cukup menggambarkan terdapat begitu banyak keputusan yang tidak konsisten dalam kabinet beliau dan kelemahan yang paling ketara adalah kegagalan Kerajaan ini melindungi wanita dan kanak-kanak.

"Konsep keluarga besar Malaysia perdana menteri kini sedang diuji dan tercemar dengan keputusan yang tidak masuk akal dan kejam oleh Peguam Negara sehingga menimbulkan kesengsaraan dan kekecewaan kepada ramai ibu dan keluarga mereka.

"Ini adalah ujian 100 hari Ismail Sabri bagi membuktikan bahawa beliau mampu untuk menjinakkan kerajaan dengan banyak kepala dan membawa kelegaan kepada para ibu dan anak-anak mereka yang menderita," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Majlis MOU Ismail Sabri dan pemimpin PH.

Semalam, kerajaan membuat pemfailan di Mahkamah Rayuan memohon membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa bayi lahir di luar negara oleh wanita warga Malaysia dan bapa bukan warga secara automatik berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

Peguam Gurdial Singh Nijar mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Pejabat Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan hari ini.

Ini bermakna AGC - yang bertindak bagi pihak kerajaan yang merupakan defendan dalam kes ini - dalam tindakan undang-undangnya, telah membuat pemfailan memohon Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman yang dikemukakan enam wanita warga Malaysia dan kumpulan hak asasi Family Frontiers.

Dalam pada itu, Hannah berkata keputusan mahkamah sebelum ini telah disambut baik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengambarkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut sebagai memberi sinar yang jelas terhadap peruntukan perlembagaan.

"Manakala Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun pula secara terbuka mengalu-alukan keputusan mahkamah sebagai, ‘memberi sinar baru kepada aspirasi kelestarian insaniah wanita nasional’.

"Malah beliau turut menambah bahawa keputusan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan mahu mewujudkan kesamarataan untuk golongan wanita.

"Jadi, keputusan Peguam Negara ini dilihat bertentangan dengan kenyataan menteri wanita, maka kita juga tertanya-tanya adakah ini sebuah kerajaan yang berkepala dua atau satu lagi contoh kes menteri wanita yang tidak memahami tanggungjawabnya dalam memperjuangkan hak kesamarataan bagi golongan wanita," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS