Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Usul tindakan disiplin pada Takiyuddin kerana kelirukan parlimen 'tamat tempoh'

PARLIMEN | Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berpendapat usul tindakan disiplin terhadap Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) kerana mengelirukan parlimen pada sidang sebelum ini telah "tamat tempoh."

Takiyuddin, yang juga menteri undang-undang ketika itu, telah memberitahu parlimen pada bulan Julai bahawa odinan darurat telah dibatalkan pada 21 Julai - satu dakwaan yang kemudian dinafikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Usul untuk merujuknya ke jawatankuasa hak dan kebebasan kemudian diajukan, tetapi sidang parlimen telah dihentikan sebelum Azhar dapat memberikan jawapan.

Gobind Singh Deo (Harapan-Puchong) membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini, dan meminta Azhar membuat keputusan.

Namun, Azhar berkata usul itu telah tamat tempoh dan sebagai ganti usul baru perlu dikemukakan.

"Sebelum saya boleh buat keputusan tentang usul itu, mesyuarat dah tamat. Boleh buat baru," kata speaker itu.

Azhar memetik Peraturan Tetap 15 (5) Mesyuarat Dewan Rakyat sebagai menjelaskan keputusannya itu.

Peraturan parlimen itu mengatakan: "Usul seseorang yang bukan ahli kerajaan yang telah dicadangkan dalam sesuatu mesyuarat tetapi belum putus, apabila pencadangnya memberitahu hendak disambung dalam mesyuarat akan datang, hendaklah didahulukan daripada usul-usul lain yang hendak dibawa oleh ahli yang bukan ahli kerajaan."

Gobind berpendapat peraturan yang sama juga boleh bermaksud usul tersebut boleh diteruskan.

Bagaimanapun, Azhar enggan melayan tuntutan ahli parlimen Puchong itu.

Dia kemudian meninggalkan Dewan Rakyat untuk memberi jalan kepada Timbalannya, Rashid Hasnon - yang telah dipanggil untuk menjelaskan mengenai usul berasingan untuk menyingkirkan Azhar daripada jawatannya.

Bawah kabinet Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Takiyuddin bertukar portfolio daripada menteri undang-undang di JPM menjadi menteri tenaga dan sumber asli.

Lihat Komen
ADS