Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin Sabah, S'wak sambut baik MOU kerajaan-PH

Pemimpin parti dari Sabah dan Sarawak menyambut baik memorandum persefahaman yang ditandatangani oleh kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Alexander Nanta Linggi, percaya Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) dapat mengurangkan politiking antara kedua-dua blok di parlimen.

"Saya gembira mengenainya. Ia harus dianggap sebagai pencapaian menang-menang bagi kedua-dua belah pihak dan oleh itu baik untuk rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

"Mudah-mudahan kerajaan sekarang dapat bersama-sama dengan Pakatan Harapan menumpukan perhatian untuk memerangi Covid-19 serta memastikan pemulihan ekonomi kita berjaya, yang akhirnya meringankan beban semua rakyat Malaysia dan memungkinkan semua sektor ekonomi Malaysia dihidupkan kembali dan bernyawa semula.

"Janji untuk mengurangkan politiking di antara dua blok besar di parlimen serta harapan untuk tidak ada usaha menjatuhkan perdana menteri dan kerajaan akan memberi rakyat lebih ketenangan untuk menjalani masa yang mencabar ini," katanya.

"Saya ingin mengalu-alukan dan memuji kedua-dua belah pihak kerana memungkinkan beberapa reformasi parlimen dilakukan. Ini adalah langkah yang bermakna, walaupun mungkin ada banyak lagi yang harus dilakukan," kata Ahli Parlimen Kapit itu.

'Biar lambat asal selamat'

Dalam kenyataan berasingan, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili menyifatkan kerjasama dua pihak itu- yang pertama kali ditawarkan oleh bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin- terlambat tiga minggu.

"Sebagai Presiden Parti Bersatu Sabah, saya juga turut terlibat dalam usaha menghulurkan jemputan kepada Ahli Parlimen DAP, PKR, dan Warisan Sabah untuk menyertai kerjasama transformasi ini, tetapi mereka menolak," kata Ongkili.

Namun, Ongkili, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), berkata adalah lebih baik 'terlambat asalkan selamat'.

“Sebagai Presiden PBS, saya mengalu-alukan kesediaan pihak PH untuk menerima prinsip-prinsip yang dipersetujui dalam MoU, terutama hal berkaitan MA63, undang-undang lompat parti, mengurangkan had tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun, dan mengurangkan had umur mengundi kepada 18 tahun," katanya.

Ongkili, bagaimanapun menyatakan PBS menolak pendaftaran automatik buat masa ini.

"Dalam hal ini, PBS tidak menyokong penuh pendaftaran automatik pengundi sehingga daftar pemilih di Sabah dibersihkan dari Pendatang Tanpa Izin (PTI).," katanya.

"Kami sedia bekerjasama dengan PH, terutama isu berkaitan MA63 yang tidak disentuh pihak PH semasa mereka berkuasa, contohnya seperti isu PTI di Sabah, pemberian dokumen secara meragukan yang tidak dapat diselesaikan, status warga asing yang memegang sijil IMM13, Kad Burung-Burung, dan Sijil Bancian, serta isu kemiskinan dan jurang perbezaan pendapatan ketara di Sabah, terutama di luar bandar Sabah,” kata Ongkili.

"Pendirian kami di PBS berbeza dari pembangkang dari segi idea, perjuangan politik, dan konsep berbilang kaum," tambahnya.

Perjanjian yang dikenali sebagai Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik, meliputi transformasi pentadbiran, pembaharuan parlimen, kebebasan kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 dan pembentukan sebuah jawatankuasa pemandu.

Dalam dokumen itu, kerajaan menjanjikan sejumlah reformasi dalam jangka waktu tertentu.

Sebagai balasannya, PH berjanji untuk tidak menggunakan undi mereka menggulingkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob atau menyekat Belanjawan 2022, jika pembaharuan dilaksanakan mengikut jadual dan mereka dilibatkan dalam perbincangan mengenai RUU Belanjawan.

Lihat Komen
ADS