Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ECRL: Selangor bertegas 'jajaran selatan' lintasi Kuala Langat
Diterbitkan:  Sep 15, 2021 4:20 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

Kerajaan negeri Selangor hari ini mengulangi pendiriannya bahawa Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) mesti tetap berada di selatan Selangor, melintasi hutan simpan Kuala Langat (Utara).

Pada satu kenyataan, exco pengangkutan awam negeri, Ng Sze Han berkata mereka tidak pernah meluluskan pembinaan ECRL yang dibina melalui bahagian utara negeri ini.

"Ingin dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri masih berpendirian Bahagian C pembinaan East Coast Rail Link (ECRL) hendaklah kekal melalui jajaran selatan, termasuk di kawasan Kuala Langat, iaitu di bahagian selatan negeri ini.

"Ingin ditegaskan juga di dalam beberapa sesi libat urus dengan pemilik projek - iaitu

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sebelum ini, Kerajaan Selangor tidak pernah memberi sebarang kata putus untuk bersetuju dengan cadangan pembinaan ECRL melalui jajaran utara," katanya.

Kenyataan Ng susulan laporan Malaysiakini semalam, memetik pemilik projek ECRL Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berkata landasan kereta api itu tidak akan melalui selatan Selangor atau Kuala Langat.

Pun begitu, Ng berkata keputusan bahawa ECRL perlu tetap berada di jajaran selatan sesuai dengan rancangan pembangunan ekonomi Selangor, termasuk beberapa projek yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan untuk memajukan kawasan di bahagian selatan negeri itu.

"Semenjak projek ini dilancarkan pada 2017, kerajaan negeri sudah membuat ketetapan bahawa pembinaan rel kereta api ECRL tidak boleh melalui kawasan utara.

"Disebabkan itu, tiada langsung kelulusan yang diberikan untuk pembinaan rel di kawasan berkenaan," kata Ng.

Adun Kinrara itu juga mempertahankan langkah kerajaan negeri menyahwartakan sebahagian dari Hutan Simpan Kuala Langat Utara untuk memberi laluan kepada projek landasan kereta api tersebut.

Pada April lalu, kerajaan Perikatan Nasional melakukan jajaran semula bahagian landasan kereta api ini sehingga akan melalui utara Selangor sebelum berhenti di Pelabuhan Klang. Ini juga disebut penjajaran era BN seperti yang pertama kali dicadangkan oleh bekas pentadbiran BN.

Ketika itu, kerajaan Selangor tidak setuju dengan perubahan tersebut dan bertegas dengan jajaran era Pakatan Harapan sebelum ini.

Jajaran sebelum ini akan melalui selatan Selangor, membabitkan kawasan seluas 21.4 hektar Hutan Simpan Kekal Kuala Langat (Utara).

Walaupun begitu, MRL tidak menganjurkan penyahwartaan hutan simpan, malah lebih suka meminta izin untuk menggunakan sebahagian hutan yang dilindungi itu.

Minggu lalu, kerajaan Selangor mengubah semula keputusannya yang banyak dikritik untuk menyahwartakan kawasan hutan Kuala Langat (Utara) seluas 563.7 hektar untuk projek pembangunan campuran.

Bagaimanapun, Menteri Besar Amirudin Shari mengatakan sebahagian hutan itu akan tetap dinyahwartakan untuk jajaran projek ECRL.

Lihat Komen
ADS