mk-logo
Berita
ECRL tak lalui hutan Kuala Langat, bercanggah kenyataan MB

Penjajaran laluan semasa Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) tidak melintasi hutan simpan Kuala Langat (Utara).

Ini kelihatan bertentangan dengan langkah kerajaan Selangor mempertimbangkan untuk memperuntukkan "kawasan kecil" hutan sebagai kawasan projek ECRL.

Pemilik projek Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memberitahu Malaysiakini landasan kereta api itu tidak akan melalui kawasan selatan Selangor atau Kuala Langat.

"Pelaksanaan semula penjajaran asal untuk Bahagian C menyebabkan ECRL tidak melakukan perjalanan melalui Negeri Sembilan, Putrajaya dan selatan Selangor.

"Oleh itu, laluan ECRL semasa melalui penjajaran asal tidak akan melintasi hutan simpan Kuala Langat (Utara)," kata syarikat itu.

MRL menegaskan dengan demikian "tidak relevan" untuk menyahwartakan hutan simpan kekal itu untuk ECRL.

"Persoalan tentang apakah ada keperluan untuk mengasingkan sebahagian hutan simpan untuk projek ECRL tidak relevan.

"Projek ECRL tidak akan melintasi hutan simpan itu kerana telah kembali ke jajaran asal di mana ia akan menghubungkan Gombak ke Pelabuhan Klang melalui Serendah di utara Selangor," katanya.

Bahagian C merujuk kepada bahagian landasan ECRL Pahang-Selangor.

Pada bulan April, kerajaan Perikatan Nasional melakukan pensejajaran semula laluan bahagian landasan kereta api ini sehingga akan melalui utara Selangor sebelum berhenti di Pelabuhan Klang. Ini juga disebut penjajaran era BN seperti yang pertama kali dicadangkan oleh bekas pentadbiran BN.

Ketika itu, kerajaan Selangor tidak setuju dengan perubahan tersebut dan bertegas dengan jajaran laluan ECRL era Pakatan Harapan sebelum ini.

Penyelarasan sebelum ini akan melalui selatan Selangor, dijangka akan memakan kawasan seluas 21.4 hektar hutan simpan Kuala Langat (Utara).

Walaupun pada ketika itu, MRL tidak menyarankan sebarang penyahwartaan, malah lebih memilih untuk meminta izin untuk menggunakan bahagian dalam hutan simpan itu.

Minggu lalu, kerajaan Selangor menarik balik penyahwartaan 563.7 hektar Hutan Simpan Kuala Langat (Utara) untuk projek pembangunan campuran.

Pada satu kenyataan, Menteri Besar Amirudin Shari berkata proses pewartaan semula kawasan hutan itu akan dilakukan.

Namun, dia menjelaskan beberapa kawasan akan tetap dinyahwartakan.

"Kerajaan negeri akan mempertimbangkan sebahagian kecil lagi kawasan akan kekal nyahwarta untuk tujuan pertimbangan jajaran ECRL," katanya tanpa memperincikan keluasan kawasan berkenaan.

Amiruddin berkata kawasan seluas 42.1 hektar akan tetap dinyahwartakan "bagi melengkapkan pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru" sebagai sebahagian pampasan terhadap tuntutan para penduduknya.

Pun begitu, dia tidak menjelaskan berapa luas kawasan hutan itu yang akan diwartakan semula sebagai hutsan simpan kekal.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Amirudin untuk mendapatkan maklum balas.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen
ADS