mk-logo
Berita
Azalina pengerusikan sementara parlimen langgar undang-undang, kata Hanipa
Diterbitkan:  Sep 16, 2021 11:18 AM
Dikemaskini: 11:20 AM

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin berkata adalah salah dari segi undang-undang untuk speaker Dewan Rakyat Azhar Harun meminta Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman mempengerusikan sidang parlimen semalam.

Katanya, hal itu kerana Peraturan (6) Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan bahawa jika terdapat kekosongan bagi jawatan timbalan speaker, Dewan Rakyat harus membuat pemilihan bagi jawatan itu "pada permulaan urusan mesyuarat dalam mesyuarat yang mula-mula sekali diadakan selepas daripada jawatan Timbalan Yang di-Pertua itu kosong."

“Pada pandangan saya, salah dari segi undang-undang untuk Azalina duduk sebagai timbalan speaker memandangkan dia telah berundur secara sah.

"Maksudnya, terdapat kekosongan yang mana Parlimen perlu isi secepat mungkin, iaitu aturan yang pertama.

“Soalnya bukan tentang Azalina. Ia tentang terang-terangan tidak menghormati undang-undang,” kata Hanipa dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Azalina berkata dia diminta oleh Azhar untuk mempengerusikan sidang parlimen buat sementara waktu berdasarkan peruntukan Peraturan 7(3) Peraturan Mesyuarat.

Peraturan 7(3) menyatakan bahawa speaker, pada bila-bila masa persidangan, boleh meminta seorang ahli untuk mempengerusikan mesyuarat bagi sementara, tanpa perlu diberitahu kepada Majlis Mesyuarat. Ahli berkenaan harus diserahkan dengan semua kuasa speaker semasa mempengerusikan mesyuarat.

Dalam kenyataannya hari ini, Hanipa berkata berdasarkan Peraturan Mesyuarat, harus ada dua orang timbalan speaker dan sekiranya terdapat kekosongan, timbalan speaker baru hendaklah dilantik secepat mungkin.

Salah satu jawatan timbalan speaker menjadi kosong selepas Azalina berundur bulan lalu, dengan harapan supaya “reset” boleh dilakukan pada sidang Dewan Rakyat.

Pemilihan timbalan speaker baru telah disenaraikan sebagai perkara pertama dalam aturan urusan mesyuarat selepas sesi soal jawab pada Selasa, tetapi ditangguhkan ke sidang parlimen yang akan datang.

Menteri undang-undang di JPM Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata langkah itu dibuat agar kerajaan dapat meminda perlembagaan untuk membolehkan jawatan timbalan speaker yang ketiga untuk pembangkang diwujudkan.

Bagaimanapun, beberapa ahli parlimen pembangkang menggesa agar pemilihan itu dipercepat, ekoran beban digalas pejabat speaker.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi turut menuduh Bersatu dan sebilangan sekutu ahli parlimen bebas menghalang gerakan untuk melantik ahli parlimen Pontian Ahmad Maslan - iaitu calon tunggal Umno sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.

Pembangkang turut mencalonkan ahli parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming bagi timbalan speaker. 

ADS
Paling Popular
Terkini
ADS