Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri sahkan peraturan ekuiti bumiputera ditangguh ke akhir 2022

PARLIMEN | Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengesahkan pelaksanaan peraturan ekuiti bumiputera untuk syarikat tempatan yang menceburi Perkhidmatan Logistik Bersepadu Antarabangsa (IILS) ditangguh sehingga akhir 2022.

Ia bagi membolehkan unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) untuk terus menilai dasar itu, kata Zafrul di Dewan Rakyat hari ini.

Peraturan itu, yang pada mulanya dijadual dikuat kuasa menjelang akhir tahun ini, mencetuskan kebimbangan sejumlah pihak, antaranya Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF).

Persekutuan itu berkata peraturan itu akan meletakkan syarikat yang terlibat dalam IILS dalam keadaan sukar kerana peraturan sama tidak terpakai terhadap syarikat luar.

Pada masa sama, FMFF berkata pihaknya tiada masalah dengan pemilikan ekuiti oleh bumiputera tetapi sukar untuk mencari syarikat bumiputera yang mahu membeli pegangan mereka pada masa ini.

Hari ini, Anthony Loke (PH-Seremban) berkata langkah kerajaan berhubung ekuiti bumiputera sebelum ini telah membawa kepada penubuhan syarikat "Ali Baba, yang pada luarannya adalah milik bumiputera, tetapi sebenarnya dimiliki golongan bukan bumiputera.

Justeru, Loke berkata ada keperluan untuk menilai semula dasar itu agar adil kepada semua pihak termasuk golongan bumiputera, selaras dengan konsep "Keluarga Malaysia" yang dibawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Isu ekuiti bumiputera kembali diperkatakan baru-baru ini.

Semalam, Ismail berkata pemilikan ekuiti korporat oleh bumiputera sehingga 2019 adalah sebanyak 17.2 peratus, dengan bukan bumiputera memiliki 25 peratus sementara 45.5 peratus dipegang oleh entiti asing dan 12.3 peratus adalah 'saham nominee'

Ia setelah lebih 30 tahun pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Rancangan Malaysia ke-12 yang dibentang semalam antara lain akan membolehkan penjualan saham atau syarikat bumiputera hanya ditawarkan kepada konsortium, syarikat atau individu bumiputera lain.

Lihat Komen
ADS