mk-logo
Berita
'Menteri IQ kobis' - Persatuan industri kapal bela Wee dari kritikan Rais
Diterbitkan:  Oct 3, 2021 5:01 PM
Dikemaskini: 9:14 AM

Beberapa persatuan perkapalan tampil mempertahankan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Ini selepas pemimpin Bersatu Rais Hussin, yang juga pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (Mdec), menggambarkan Wee sebagai "menteri dengan IQ kobis".

Rais tidak menyebut nama Wee tetapi tampaknya merujuk pertengkaran antara Wee dan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mengenai dasar kabotaj terhadap kapal yang terlibat dalam pembaikan kabel internet bawah laut.

Kabotaj merujuk kelulusan hak pengangkutan dari mana-mana pelabuhan atau tempat di Malaysia ke pelabuhan atau tempat lain oleh pengendali pengangkutan laut.

Syarikat besar teknologi telah berkali-kali menulis surat kepada kerajaan untuk memulihkan pengecualian era Pakatan Harapan supaya mempercepat pembaikan kabel internet.

Pun begitu, Wee bertegas mempertahankan kembali dasar kabotaj itu dan mencabar Lim untuk berdebat pada hari Khamis.

"Menteri dengan IQ kobis tidak boleh bercakap mengenai dasar kabotaj.

"Syarikat besar teknologi telah berkali-kali menulis kepada dua perdana menteri di bawah PN mengenai pengecualian polisi kabotaj untuk pembaikan kabel dasar laut.

"Lim Guan Eng akan ambil 'kobis ini' untuk sarapan pagi jika perdebatan berlaku," kata Rais di Twitter.

Wee berkata dasar sabotaj akan membantu industri perkapalan tempatan untuk berkembang manakala syarikat besar teknologi telah menimbulkan kebimbangan mengenai monopoli.

Enam persatuan perkapalan tempatan hari ini mengeluarkan kenyataan bersama mempertahankan Wee daripada kritikan Rais.

'Memalukan'

"Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia (Masa) yang mewakili pemilik kapal di Malaysia dengan tegas mengecam keras kenyataan yang dibuat oleh pengerusi MDEC mengenai IQ menteri pengangkutan yang terhormat itu.

"Sekiranya benar apa yang dikatakannya seperti dilaporkan, Dr Rais yang memegang jawatan tertinggi dalam sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terkemuka, maka adalah memalukan bukan hanya untuk industri tetapi juga rakan-rakannya kerana mengucapkan kata-kata seperti itu," kata Pengerusi Masa Abdul Hak Md Amin.

Sementara itu, Ikhtisas Kelautan Malaysia (Ikmal) berkata pihaknya menyokong perdebatan profesional tetapi menentang komen yang memalukan.

"Ikmal berpendapat Rais Hussin yang terhormat, menggunakan tahap serangan peribadi terhadap Wee, secara tidak sengaja telah membiarkan dirinya bergabung dengan kumpulan individu emosional yang memilih untuk membuat gelaran sedemikian berbanding menanganinya sebagai perbezaan buah fikiran," kata Presiden Ikmal Zuradi bin Zainol Abidin.

"Ini benar-benar merendahkan dan tidak wajar seorang pengerusi GLC untuk membuat kenyataan yang meremehkan.

"Ini menunjukkan keangkuhan terang-terangan dan sikap menghina daripada seseorang yang memegang jawatan tertinggi," tambah Presiden Persatuan Pemilik OSV Malaysia (Mosva) Safwan Othman.

Pengerusi Persatuan Pemilik Kapal Sarawak dan Sabah (SSSA) Eddie Ling berkata: "Pengerusi MDEC sebagai tokoh intelektual tidak boleh membuat kenyataan intelektual sebegitu".

Persatuan Industri Marin Malaysia (Amim) dan Persatuan Industri Maritim Sarawak (Samin) juga mengkritik serangan Rais terhadap Wee.

"Semua orang, pemimpi, dan lain-lain harus dapat mengoptimumkan sepenuhnya hak mereka untuk secara bebas bersuara terhadap setiap masalah yang mempengaruhi mereka, termasuk membuat analisis dan penilaian dengan fakta dan angka yang tepat tanpa menggunakan bahasa provokatif dan merendahkan," kata Presiden Amim Soo Jee Main.

"Samin menyokong penuh menteri dalam pendiriannya untuk menegakkan dasar kabotaj agar dilaksanakan dengan ketat untuk memastikan industri maritim tempatan kita maju," kata Presiden Samim Renco Yong.

Lihat Komen
ADS