mk-logo
Berita
Lim persoal semakan semula dasar kabotaj sudah tamat tempoh
Diterbitkan:  May 30, 2021 9:27 PM
Dikemaskini: 1:27 PM

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mendakwa Perikatan Nasional (PN) tidak menjalankan tugas kerana gagal memutuskan semakan semula ke atas pelaksanaan dasar kabotaj dalam tempoh yang ditetapkan perdana menteri sebelum ini.

Kata Lim, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada mesyuarat kabinet 14 April lalu memberikan tempoh dua minggu kepada enam kementerian berbeza untuk mengkaji semula kesan dasar kabotaj negara terhadap industri digital dan perkapalan.

Bagaimanapun, katanya, setelah lebih sebulan daripada tamatnya tempoh dua minggu itu - yang berakhir 28 April - masih tiada khabar daripada kementerian-kementerian berkaitan.

Kata Lim juga, kerajaan PN lebih mengutamakan menjaga air muka Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berbanding masa depan digital negara.

“Sekarang setelah tempoh dua minggu pada 28 April telah berakhir lebih dari sebulan yang lalu, kabinet masih diam membisu mengenai keputusan mereka sama ada untuk meneruskan atau menukar semula dasar kabotaj sedia ada.

“Tiada sebarang keputusan terhadap hasil kajian semula seperti ini adalah perkara biasa bagi sebuah kerajaan yang gagal.

“[...] Kerajaan PN telah gagal dalam ujian untuk mengutamakan masa depan digital Malaysia dengan memberi keutamaan kepada masa depan politik mereka sendiri, semata-mata mahu menjaga muka Wee demi memastikan sokongan dua ahli parlimen MCA (termasuk) Wee untuk PN.

“Dasar pengecualian kabotaj bagi pelaburan digital bernilai tinggi dan berteknologi tinggi harus dikembalikan semula untuk memastikan bahawa Malaysia tidak kehilangan pelaburan digital sebanyak RM12-15 bilion,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Enam kementerian tersebut ialah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Pentadbiran Pakatan Harapan pada Mac 2019 mengecualikan kapal-kapal bukan Malaysia daripada dikenakan tindakan menerusi Ordinan Perkapalan Malaysia 1952 Seksyen 65KA (1) sekiranya terlibat dalam perkhidmatan pembaikan kabel dasar laut di mana-mana pusat pendaratan di perairan Malaysia.

Seksyen 65KA (1) menetapkan bahawa, tidak ada kapal asing yang boleh berhubungan dengan pengiriman domestik.

Bagaimanapun, pengecualian tersebut ditarik semula pada November 2020 oleh Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, mengundang reaksi daripada syarikat gergasi teknologi seperti Amazon, Facebook, Google dan Microsoft yang mendesak pengecualian itu dikembalikan.

Mereka mendakwa penarikan pengecualian kabotaj memberi kesan negatif terhadap daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat teknologi global, sedangkan dasar itu hanya memberikan faedah ekonomi yang terlalu sedikit (negligible) kepada Malaysia.

Langkah itu turut dikritik bekas menteri pengangkutan PH, Anthony Loke.

Dasar kabotaj bertujuan mengekalkan industri perkapalan dan pembuatan kapal Malaysia dan sekali gus mengurangkan pergantungan pada perkapalan asing.

Bawah polisi ini, hanya kapal berdaftar dan milik Malaysia yang boleh menggunakan laluan pelayaran domestik di Malaysia kecuali pengecualian diberikan.

Gergasi teknologi mendakwa dasar itu akan mewujudkan monopoli bagi satu syarikat perkapalan tempatan yang hanya memiliki satu kapal pemasangan kabel di Malaysia, namun dakwaan itu dipertikaikan Wee.

Wee mempertikaikan dakwaan monopoli itu dan berkata dasar kabotaj akan membantu membina kapasiti tempatan dan mengurangkan aliran keluar mata wang asing.

Dakwa Lim, kedegilan Lim dalam meneruskan dasar kabotaj telah menyebabkan Facebook dan Google mengetepikan Malaysia dan memilih negara jiran apabila kebimbangan mereka mengenai kelewatan sehingga 27 hari untuk pembaikan kabel dasar laut tidak diendahkan.

Lihat Komen
ADS