Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
MIC tiada masalah Zahid tawar kerusi pada Makkal Sakthi- Vigneswaran

Presiden MIC, SA Vigneswaran berkata parti itu tiada masalah dengan pengumuman Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti Makkal Sakthi akan diberi tempat untuk bertanding di bawah tiket BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Tidak ada masalah. Perkara ini boleh dibincang pada musim pilihan raya. Pada ketika ini, tiada pertembungan antara komponen BN dengan kerusi yang ditandingi oleh MIC. Atas dasar tersebut, kami tidak ada isu dengan pengumuman kerusi kepada Makkal Sakthi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat MIC di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, MIC tidak pernah berasa iri hati atau menghalang mana-mana parti untuk bertanding.

"Kami tidak akan halang sesiapa. Tetapi, kami akan memberi pandangan kami berhubung apa yang penting kepada MIC. Tidak benar jika ada pihak kata MIC marah atau iri hati kerana pihak lain diberi kerusi. Malah, kami tidak pernah memikir isu-isu tersebut.

"Apa yang Zahid kata adalah kami (Umno) akan memberi peluang kepada Makkal Sakthi untuk bertanding, dan akan membawa isu ini di peringkat BN. Sehingga kini perkara itu masih tidak dibincang. Jadi, tidak baik bagi saya untuk memberi komen," katanya.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Zahid sebelum ini pada Perhimpunan Agung Tahunan Makkal Sakthi bahawa parti itu akan diberi peluang bertanding bersama BN pada PRU 15 akan datang.

Vigneswaran berkata dia juga percaya Zahid mungkin menawarkan kerusi kepada Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF),  Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Parti Bersatu India Malaysia (MIUP).

"Ini kita akan bincang pada peringkat (mesyuarat) BN nanti.

"Buat masa ini, wakil MIC telah turun di 11 kerusi parlimen. Yang sesuai kami bertanding. Yang tidak sesuai kami akan beri kepada rakan komponen BN untuk bertanding," katanya.

Untuk rekod, selain Makkal Sakthi, IPF, Kimma, MIUP, Parti Cinta Malaysia, Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM) dan Parti Tindakan Hak Minoriti (MIRA) lebih dikenali sebagai parti 'mesra BN' atau parti ahli gabungan BN.

Sementar BN dianggotai empat parti masing-masing Umno, MCA, MIC dan PBRS.

Pemilihan MIC pada Oktober dan November

Terdahulu, Vigneswaran mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC petang tadi bagi menentukan tarikh pemilihan parti bagi sayap Pemuda, Wanita, Putera, Puteri, peringkat bahagian, negeri dan kebangsaan.

Katanya, di peringkat sayap penamaan calon diadakan pada 10 Oktober dan pemilihan diadakan pada 17 Oktober. Bagi peringkat bahagian tarikh penamaan pada 17 Oktober dan pemilihan diadakan pada 24 Oktober.

Bagi pemilihan peringkat negeri, 23 ahli CWC, tiga naib presiden dan jawatan timbalan presiden pula akan diadakan pada bulan November.

"Kami ambil cuti dua minggu kerana perayaan Deepavali pada awal November.

"Seterusnya, penamaan calon bagi peringkat negeri, jawatan CWC, naib presiden dan timbalan diadakan pada 20 November. Dan pemilihan akan diadakan pada 27 November ini," katanya.

MIC merupakan parti politik pertama yang akan mengadakan pemilihan parti selepas negara dikuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 12 Mei 2021.

Lihat Komen
ADS