'Garis merah': DAP Melaka tolak kerjasama dengan Bersatu
Hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Umno kini dilihat semakin renggang sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa PH mungkin menjalinkan semula kerjasama dengan Bersatu menjelang pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
Spekulasi itu semakin kuat selepas Pengerusi PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim, menghadiri satu majlis makan malam anjuran Bersatu di negeri itu baru-baru ini.
Bagaimanapun, seorang pemimpin kanan komponen PH menolak kemungkinan gabungan itu bekerjasama semula dengan Bersatu pada PRN akan datang.
"Bagi saya sebagai seorang ahli politik, kita memang terbuka untuk berbincang. Kita boleh boleh bekerjasama tetapi kerjasama itu perlu ada satu garis merah. Kita tidak boleh melepasi garis merah tersebut," kata Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, dalam podcast KiniTV yang disiarkan hari ini.
Episod terbaru podcast “Explain Sikit, Kini!” itu menampilkan Khoo dan wartawan veteran serta penganalisis politik Fathi Aris Omar sebagai panel jemputan bagi membincangkan isu politik semasa menjelang PRN Melaka.
Khoo, yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka, diminta mengulas khabar angin bahawa PH sedang mempertimbangkan kerjasama politik dengan Bersatu.
/file/attachments/orphans/explainsikit1sde_125236.png)
Kedua-dua pihak mempunyai sejarah hubungan yang tegang sejak Langkah Sheraton pada 2020, apabila pemimpin Bersatu menarik sokongan terhadap kerajaan persekutuan pimpinan PH ketika itu, sekali gus menyebabkan kerajaan tumbang.
Khoo berkata DAP Melaka turut menerima jemputan ke majlis makan malam Bersatu yang diadakan di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah pada Isnin lalu, tetapi memutuskan untuk "tidak terlibat".
"Bagi saya buat masa ini saya masih tidak boleh lagi terima untuk bekerjasama dengan Bersatu," katanya ketika ditanya sama ada Bersatu merupakan "garis merah" bagi DAP Melaka.
Sementara itu, Fathi berkata mungkin bukan langkah yang bijak dari sudut strategi bagi PH untuk menjalinkan semula hubungan dengan Bersatu pada ketika ini.
Menurutnya isu mengenai persengketaan lalu kurang penting bagi parti politik berbanding persoalan sama ada sesuatu pakatan itu mampu membantu mereka memperoleh undi.
/file/attachments/orphans/explainsikit1asde_491550.png)
Fathi berkata parti-parti politik, termasuk PH, sebelum ini pernah mengetepikan perbezaan mereka demi mendapatkan keuntungan pilihan raya, seperti yang berlaku menjelang pilihan raya umum 2018.
Bagaimanapun, dia berkata kerjasama PH dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu ketika itu, Muhyiddin Yassin, adalah signifikan kerana kedua-dua tokoh veteran itu membawa sokongan politik masing-masing kepada gabungan berkenaan.
"Yang saya maksudkan di sini PH harus fikirkan bagaimana untuk mengumpul undi dalam PRN Melaka dan juga PRU16. Sekiranya PH tidak dapat membawa undi saya rasa kerjasama itu hanya menambahkan luka tapi tidak membawa rasa manisnya persahabatan itulah," kata Fathi.
Sementara itu, mengenai hubungan PH yang tegang dengan BN, Khoo berkata peluang kedua-dua gabungan itu untuk memperbaiki hubungan kini sangat tipis.
Menurutnya hampir mustahil bagi kedua-dua pihak untuk bekerjasama selepas pelbagai penghinaan yang dilemparkan Umno terhadap PH dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga pengerusi gabungan berkenaan.
/file/attachments/orphans/explainsikit15_486493.png)
