Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tarikh siap ECRL kekal pada 31 Dis 2026 - Wee Ka Siong
Diterbitkan:  Oct 5, 2021 1:04 PM
Dikemaskini: 5:18 AM

PARLIMEN l Sasaran penyiapan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih kekal setakat ini iaitu pada 31 Dis 2026 bagi seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun dan B dari Dungun ke Temerloh, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata penyiapan Seksyen C iaitu dari Temerloh ke Pelabuhan Klang dijangka mengalami kelewatan selama 12 bulan iaitu pada 31 Dis 2027.

Dari segi kemajuan projek, beliau berkata hingga 31 Ogos lepas, pembinaan keseluruhan projek ini telah mencapai kemajuan sebenar sebanyak 23.96 peratus berbanding jadual sebanyak 25 peratus, lewat sedikit daripada jadual iaitu 1.04 peratus akibat pelaksanaan PKP.

Hingga tempoh sama, katanya bagi seksyen A, kemajuan kerja fizikal telah mencapai 11.59 peratus berbanding jadual sebanyak 12.01 peratus, manakala bagi seksyen B, 28.04 peratus berbanding jadual sebanyak 26.9 peratus merangkumi kerja-kerja tanah dan pembinaan terowong di Dungun, Paka dan Kuantan.

“Kerja-kerja awalan bagi pembinaan terowong di Gambang, Sri Jaya, Gedung Siam dan Paya Pasir juga giat dijalankan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang mahu tahu perkembangan terkini projek ECRL setakat ini dan jangkaan perubahan tarikh siap projek itu.

Bagi Seksyen C, Wee berkata kerajaan kini masih mengkaji jajaran terbaik bagi memastikan projek berkenaan memberi impak ekonomi yang maksimum.

“Jajaran yang terbaik dan memberi impak maksimum kepada rakyat seperti yang diumumkan pada 5 April 2021. Dalam hal ini, adalah penting ECRL dipastikan tersambung secara strategik dengan jaringan logistik rel kebangsaan.

“Dalam hal ini, cadangan penjajaran balik kepada jajaran utara asal, iaitu Temerloh-Gombak-Serendah dan dilanjutkan ke Pelabuhan Klang telah dipertimbangkan oleh Jemaah Menteri pada 21 Ogos 2020 dan Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara pada 13 Ogos 2020 serta diluluskan secara prinsip oleh Jemaah Menteri pada 21 Ogos 2020 dan 2 Sept 2020,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS