mk-logo
Berita
Krisis Melaka: Bersatu, Umno pecat Adun tarik sokongan KM
Diterbitkan:  Oct 7, 2021 9:10 AM
Dikemaskini: 2:56 AM

Biro Politik Bersatu kesal dengan tindakan empat Adun Melaka yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali sehingga membawa kepada pembubaran DUN Melaka ketika rakyat sedang berhadapan pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin juga mengumumkan keputusan biro politik itu memecat wakil rakyat parti itu yang terlibat menarik diri daripada menyokong ketua menteri itu.

“Biro Politik Bersatu juga telah membuat ketetapan bahawa Adun Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad gugur keahliannya secara serta-merta di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu.

"Ketetapan ini akan disahkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan datang,” katanya pada satu kenyataan semalam.

Hamzah juga berkata Biro Politik Bersatu berpendapat kemelut politik di Melaka berpunca daripada masalah dalaman parti politik tertentu.

Adun Telok Mas, Noor Effandi Ahmad.

“Ianya bertambah parah apabila terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan tanpa memikirkan kebajikan rakyat serta kepentingan negara pada ketika ini yang masih di peringkat awal proses pemulihan.

“Biro Politik Bersatu berpendirian bahawa kemelut politik di negeri Melaka perlu diselesaikan mengikut lunas Perlembagaan Negeri Melaka dan Perlembagaan Persekutuan dengan mengambilkira kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Selain Noor Effandi, Adun yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman Md Ali pada Isnin lepas ialah Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dipetik laporan Malay Mail mengesahkan pemecatan Idris dan Nor Azman.

Semalam, Nor Azman memohon maaf kepada rakyat Melaka berhubung peranannya sehingga menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Idris pula berkata sekiranya parti itu ingin mengambil tindakan terhadap kedua-dua mereka, mereka mesti diberi hak untuk mempertahankan diri.

Katanya, kepimpinan Umno tidak pernah menghubungi dia dan Nor Azman untuk mengetahui mengapa mereka tidak berpuas hati.

Sebelum ini, Nor Azman (gambar, atas) mendakwa berlaku penyelewengan dalam Zon Ekonomi Persiaran Pantai Melaka (M-Wez) - iaitu projek penambakan tanah secara besar-besaran - sebagai antara sebab dia menarik balik sokongan terhadap Sulaiman.

Dia juga mempertahankan keputusan untuk tampil bersama Adun Pakatan Harapan pada sidang media di mana dia mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan.

Selain Idris dan Nor Azman, dua Adun lain yang menarik sokongan adalah Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). Biro Politik Bersatu juga turut menggugurkan keahlian Noor Effandi Ahmad.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 dan satu Pilihan Raya Negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran itu.

Terdahulu, Speaker DUN Melaka Ab Rauf Yusoh mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt setelah dipersetujui Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam.

Dewan Undangan Negeri Melaka mempunyai 28 anggota.

Sebelum pembubaran DUN Melaka kelmarin, Umno memegang kerusi terbanyak berbanding parti lain dengan 14 Adun, sementara Bersatu hanya memiliki dua.

Lihat Komen
ADS