Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rayuan kes kembalikan status masuk Islam dua kanak-kanak 27 Okt
Diterbitkan:  Oct 13, 2021 3:37 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Mahkamah Rayuan menetapkan 27 Oktober untuk mendengar permohonan rayuan supaya mengembalikan status masuk Islam dua anak yang terjebak dalam pertikaian undang-undang antara ayah mereka yang beragama Buddha dan ibu mereka yang mualaf.

Pada 25 Mac lalu, mahkamah telah mengosongkan perbicaraan yang dijadualkan berlangsung hari itu. Ini terjadi apabila salah seorang hakim daripada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menarik diri dengan alasan dia mengenali pasangan yang pernah berkahwin itu.

Peguam bapa penganut agama Buddha, Honey Tan mengesahkan tarikh pendengaran baru yang ditetapkan semasa pengurusan kes rayuan ibu yang memeluk Islam itu di Mahkamah Rayuan hari ini.

"Pengurusan kes diteruskan (hari ini), dan perbicaraan ditetapkan pada 27 Oktober," kata peguam itu ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Semasa pengurusan kes dalam talian hari ini, peguam Rohani Ibrahim dan Sulaiman Abdullah hadir bagi pihak dua perayu, iaitu ibu yang memeluk Islam itu dan Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan.

Peguam kanan persekutuan Mazlifah Ayob daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), turut hadir urusan mahkamah hari ini.

Ibu dan Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan memohon untuk mengembalikan semula sijil masuk Islam terhadap kedua-dua anak berkenaan, yang masih bersekolah.

Mereka mengemukakan rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 2018 yang membenarkan permohonan si bapa untuk membatalkan sijil penukaran agama sepihak anak-anaknya.

Pada 25 Mac, Hakim Mahkamah Rayuan Vazeer Alam Mydin Meera menarik diri daripada panel tiga hakim yang akan mendengar rayuan itu, dengan alasan dia mengenali pasangan berkenaan.

Ini kali kedua prosiding rayuan menyaksikan salah seorang anggota hakim Mahkamah Rayuan mengundurkan diri daripada kes berkenaan.

Pada 25 Jun 2019, Hakim Mary Lim Thiam Suan menarik diri daripada panel hakim yang bersidang, berikutan bantahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Lim sebelum ini mendengar rayuan bekas pasangan yang berkahwin itu, berkaitan dengan hak penjagaan untuk kedua-dua anak itu, di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Pada 15 Jan tahun lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan si ibu terhadap keputusan mahkamah lebih rendah yang memberikan hak penjagaan kepada si bapa.

Akibatnya, isu undang-undang utama sekarang berpusat pada pertikaian mengenai kesahihan sijil penukaran Islam kedua-dua anak itu.

Memandangkan terdapat perintah mahkamah, nama-nama bekas pasangan suami isteri dan dua anak mereka tidak dibenarkan untuk disiarkan oleh media.

Pada 14 Jun 2016, si ayah, yang juga seorang ahli perniagaan, telah mengemukakan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, seorang anak perempuan berusia lapan tahun dan anak lelaki berusia empat tahun.

Si bapa memohon mahkamah membatalkan perakuan penukaran agama itu dan perintah larangan untuk menghalang responden (ibu dan Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan) atau ejen mereka daripada mendaftarkan kedua-dua anak berkenaan sebagai orang Islam.

Pada bulan Oktober 2018, Mahkamah Tinggi membenarkan cabaran undang-undangnya untuk membatalkan sijil penukaran agama kanak-kanak itu.

Ibu dan Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

[Baca berita asal]

ADS