Paling Popular
Terkini

Najib Razak memohon kepada mahkamah untuk meminda tarikh bagi pelepasan dan penyerahan pasportnya daripada 20 Oktober hingga 22 November kepada 25 Oktober kepada 6 Disember ini.

Menurut bekas perdana menteri itu, ini kerana dia telah ditugaskan untuk membantu jentera parti Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November depan.

Najib berkata demikian dalam notis usul dan afidavit sokongan yang difailkan semalam untuk menyokong permohonan pelepasan pasportnya sementara, yang diajukan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib, 68, selaku pemohon memfailkan notis usul itu semalam menerusi Tetuan Shafee & Co di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dengan menamakan pendakwa raya selaku responden.

Isnin lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bermula 20 Oktober hingga 22 November ini.

Ia bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang kini berada di Singapura dan bakal melahirkan anak kedua pada November ini.

Namun, menerusi pindaan permohonan yang diajukan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Najib memohon tempoh pelepasan pasportnya merangkumi daripada 21 November sehingga 6 Disember. PRN Melaka ditetapkan pada 20 November.

Melalui afidavit bertarikh semalam, Najib berkata, susulan kebenaran Mahkamah Rayuan untuk melepaskan pasportnya sementara pada Isnin lalu, dia kemudian dimaklumkan bahawa tarikh penamaan calon dan pilihan raya Melaka masing-masing adalah pada 8 dan 20 November.

“Memandangkan Presiden Parti Umno Zahid Hamidi pada masa tersebut akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan bagi tulang belakangnya, saya telah diamanahkan dengan tanggungjawab untuk memastikan bahawa parti Umno sewaktu pilihan raya kecil Melaka bertindak secara teratur dan dengan sewajarnya sementara ketiadaan Zahid Hamidi.

“Oleh yang demikian, saya terpaksa menangguhkan perjalanan saya ke Singapura sehingga selepas tamat pilihan raya kecil Melaka pada 20 November,” katanya.

Menurut Najib, perancangannya telah berubah dan dirinya akan bertolak ke Singapura pada 21 November dan pulang ke Malaysia pada 6 Disember atau lebih awal dari tarikh tersebut.

"Saya akan memulangkan pasport antarabangsa saya kepada Mahkamah yang mulia ini pada selewat-lewatnya 6 Disember (atau lebih awal dari tarikh tersebut).

“Dalam masa yang mana saya harus menjalankan tanggungjawab saya di Malaysia, saya telah meletakkan kepercayaan kepada isteri saya, Rosmah Mansor yang akan bertolak ke Singapura terlebih dahulu untuk mengawasi keadaan Nooryana sementara saya masih di Malaysia.

“Saya akan susuli jejak langkah isteri saya sejurus saya menyelesaikan tanggungjawab saya di sini terlebih dahulu,” kata Najib.

Pada prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menangguhkan kepada 26 Oktober ini untuk mendengar permohonan itu.

Najib dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini atas dakwaan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Pada 15 Okt lepas, Hakim Mohamed Zaini yang juga mendengar kes Rosmah bagi pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar membenarkan permohonan wanita itu untuk mendapatkan semula pasportnya bagi tujuan sama.

Pasport Rosmah dipulangkan kepadanya pada 15 Okt dan perlu dikembalikan kepada mahkamah sebelum atau pada 6 Dis ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS