mk-logo
Berita
Najib, Muhyiddin ingkar SOP PRN, berkempen 'cara terselindung' - Lim
Diterbitkan:  Oct 31, 2021 11:48 AM
Dikemaskini: 3:49 AM

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang hari ini menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil tindakan terhadap dua bekas perdana menteri - Najib Razak dan Muhyiddin Yassin - kerana ingkar SOP peraturan kesihatan pilihan raya negeri dengan menghadiri 'acara perhimpunan' di Melaka baru-baru ini.

Veteran pembangkang itu memberi amaran jika KKM tidak mengendahkan dan menutup mata terhadap Najib dan Muhyiddin, maka akan berlaku kes layanan dua darjat yang mana terdapat satu peraturan untuk parti pemerintah dan satu lagi untuk pembangkang.

Lim juga menyifatkan Najib dan Muhyiddin telah menghadiri aktiviti 'secara terselindung' untuk menutup aktiviti kempen pilihan raya mereka.

Katanya, jika KKM tidak mampu menguatkuasakan peraturan mereka sendiri, maka lebih baik tidak perlu ada peraturan berkenaan.

“Sama ada mengambil tindakan segera atau membatalkan larangan itu dan berbincang dengan semua parti politik dan Suruhanjaya Pilihan Raya bagi memastikan pilihan raya yang bebas, adil dan bersih di samping mencegah penularan Covid-19,” kata Lim.

PRN Melaka akan berlangsung pada 20 November, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 18 November.

Tempoh hari berkempen adalah selama 12 hari bermula hari penamaan calon.

Semalam, Najib melawat pelbagai tempat di Melaka. Di Tanjung Kling, Najib memberitahu pemberita dia hanya datang atas jemputan Ketua Umno Bahagian Tangga Batu Mohamad Ali Mohamad.

Dia juga juga melawat Kampung Tengah dan bergambar dengan pengunjung di air pancut Queen Victoria.

Muhyiddin pula melawat beberapa gerai jenis menjual barangan runcit dengan harga yang sangat rendah dinamakan "Gerak Prihatin Rakyat."

Sebagai contoh, dengan hanya RM15 seseorang boleh membeli pek 200g Milo, seekor ayam, 30 biji telur dan 2kg kentang.

Mengikut bahan promosi untuk gerai berkenaan, pelanggan terhad kepada golongan berpendapatan rendah.

Pelanggan perlu melalui sistem pandu lalu untuk membeli barangan bagi mengelakkan kesesakan.

Muhyiddin dirakam menghulurkan RM5 sebagai baki pertukaran untuk seorang pembeli.

Sebarang kegiatan, perhimpunan atau majlis sosial sepanjang tempoh perjalanan PRN Melaka - termasuk ketika kempen - adalah tidak dibenarkan

Pada 24 Oktober, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan pindaan SOP Covid-19, berkata sebarang kegiatan, perhimpunan atau majlis sosial sepanjang tempoh perjalanan PRN Melaka - termasuk ketika kempen - adalah tidak dibenarkan.

Ini, katanya bagi mengelakkan peningkatan kes dan kluster Covid-19 yang berisiko tinggi menular dalam perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Khairy berkata larangan itu berkuatkuasa pada 25 Oktober 2021 hingga 27 November 2021.

Beberapa pengulas politik memberitahu Malaysiakini mereka menjangkakan parti politik akan menggerakkan aktiviti kempen mereka untuk PRN Melaka secara tertutup kerana pertaruhannya sangat tinggi.

Lihat Komen
ADS