Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rakaman video beri kelebihan pada Wee ketika debat dengan Lim

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong mendapat kelebihan dalam debat malam tadi dengan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berhubung dasar kabotaj negara ke atas kapal asing yang membaiki kabel dasar laut.

Dengan kelebihan mempunyai akses yang lebih baik melalui pejabatnya, Wee membawa klip video rakaman pertemuan mayanya dengan Yoshio Sato - naib presiden syarikat kabel dasar laut global NTT Ltd - untuk menyangkal dakwaan bahawa dia telah menyebabkan negara kehilangan berbilion ringgit dalam pelaburan.

Dakwaan itu menjadi hujah utama Lim semasa mereka bertengkar mengenai isu bahawa keputusan Wee untuk membatalkan pengecualian kabotaj telah menyebabkan gergasi teknologi menjauhkan diri dari Malaysia.

Antara dakwaan ialah Google dan Facebook telah memintas Malaysia untuk projek kabel bawah laut internet Apricot, yang sedang dijalankan oleh NTT.

Menurut video itu, Sato telah memberitahu Wee bahawa projek Apricot telah dirancang sejak 2017 dan Malaysia memang tidak pernah menjadi sebahagian daripadanya.

“Seperti yang saya nyatakan, pada asalnya, sejak awal, kami tidak bercadang untuk memasang kabel di Malaysia untuk Apricot.

"Sebaliknya, kami merancang untuk membina satu lagi kabel bermula dari Singapura ke India, kami memanggilnya (projek) kabel Mist. Dan kabel Mist akan melibatkan Malaysia," kata Sato.

Wee kemudian berhujah bahawa kenyataan Sato telah membuktikan bahawa keputusannya untuk membatalkan pengecualian kabotaj tahun lepas tidak ada kaitan dengan Malaysia dikecualikan daripada projek Apricot.

"Saya dapat kenyataan kenyataan ini daripada sumber terbaik. Beliau yang instrumental membina (projek Apricot).

Apa juga andaian konon saya sebabkan kerugian negara ini tak masuk akal," katanya.

Selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran persekutuan pada 2018, menteri pengangkutan ketika itu Anthony Loke telah memperkenalkan pengecualian kabotaj ke atas kapal asing yang menjalankan kerja-kerja pembaikan kabel dasar laut di Malaysia.

Dasar itu bagaimanapun telah dibatalkan oleh Wee apabila beliau menjadi menteri pengangkutan tahun lepas selepas Perikatan Nasional mengambil alih Putrajaya.

Pada 1 Sept, empat gergasi teknologi global - Amazon, Microsoft, Google dan Facebook - dan Malaysia Internet Exchange (MyIX) merayu kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengembalikan semula dasar pengecualian kabotaj.

"(Pengecualian kabotaj) telah (sebelum ini) memastikan kerja pembaikan kabel dasar laut dapat dijalankan dengan cekap dalam jangka masa yang singkat, sekali gus meminimumkan tempoh dan kesan ekonomi gangguan kabel.

"Kami dengan hormatnya mencadangkan agar kerajaan mengembalikan semula dasar pengecualian kabotaj berkuat kuasa serta-merta," kata firma itu dalam satu kenyataan bersama.

Dakwaan dan dakwaan balas

Semasa debat, yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awani dan TV8, dan di platform media sosial TV3, Lim berhujah bahawa pembatalan pengecualian kabotaj akan menyebabkan kelewatan pembaikan kabel dasar laut.

Beliau berkata negara tidak seharusnya menghalang kapal asing masuk ke negara ini untuk melakukan pembaikan kabel dasar laut, dengan mendakwa Malaysia masih belum mempunyai syarikat tempatan yang mempunyai keupayaan untuk menjalankan kerja-kerja tersebut.

"Semua orang tahu bahawa sebarang kerosakan yang melibatkan kabel dasar laut akan menyebabkan kerugian ekonomi jika ia tidak diberi pembaikan segera," katanya.

Setiausaha Agung DAP itu juga menuduh Wee cuba memanfaatkan sebuah syarikat tempatan, yang menurutnya hanya mempunyai satu tongkang untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan. Lim mendakwa syarikat itu - Kumpulan OMS - didakwa tidak mempunyai penarafan DP2 untuk melayakkan diri untuk jawatan itu.

Bagaimanapun, Wee dalam hujah balasnya mendakwa Lim bergantung kepada maklumat lapuk. Beliau berkata kini terdapat dua syarikat di negara ini yang boleh melakukan pembaikan kabel dasar laut. Syarikat-syarikat ini mempunyai sejumlah enam kapal kabel dan dua tongkang, menurut Wee.

"Mereka boleh buat kerja itu. Mereka telah aktif di Indonesia. Mereka adalah syarikat yang melakukan pembinaan dan pembaikan kabel kerana mereka diberi peluang di sana.

"Tetapi di sini, mereka tidak diberi peluang. Masalahnya adalah dasar. Kita harus memberi 'first right of refusal' kepada mereka yang sudah mempunyai pengalaman," kata Wee.

Menteri itu menambah bahawa dasar kabotajnya juga tidak bertujuan untuk menyekat sepenuhnya kapal asing daripada melakukan kerja-kerja pembaikan di Malaysia, tetapi bertujuan untuk mengutamakan kontraktor tempatan.

Dalam kes syarikat tempatan tidak dapat menjalankan kerja pembaikan, katanya, Kementerian Pengangkutan akan memberi pengecualian khas kepada kapal asing.

Mengenai isu kelewatan, Wee berkata MOT telah berjaya mengurangkan tempoh untuk meluluskan pengecualian kabotaj khas kepada hanya kira-kira tiga hari sekarang, berbanding 45 hari sebelum ini.

Lihat Komen
ADS