Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Vellfire kereta rasmi menteri? Tanyalah Atok dan Abah kau'
Diterbitkan:  Nov 4, 2021 12:40 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Sejak April 2021, menteri persekutuan telah menggunakan kereta Toyota Vellfire sebagai kenderaan rasmi, dengan kos bulanan RM5,759.35, dedah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Kerajaan telah membayar sejumlah RM1.42 juta kepada pemegang konsesi setakat September 2021, tambahnya.

“Kerajaan memulakan proses menggantikan kenderaan rasmi menteri persekutuan daripada model Proton Perdana 2.4L kepada model Toyota Vellfire 2.5L bermula April 2021.

“Kerajaan membayar pajakan bulanan sebanyak RM5,759.35 untuk Toyota Vellfire. Kos pajakan bulanan terdiri daripada RM4,851.61 untuk kos sewa bulanan dan RM907.74 untuk kos penyelenggaraan,” kata Tengku Zafrul.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis parlimen bertarikh 2 Nov kepada Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin yang telah bertanya kos memajak Toyota Vellfire sebagai kereta rasmi menteri persekutuan.

Sebelum ini pada Disember 2019, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) telah mempertimbangkan untuk menukar kenderaan rasmi menteri persekutuan daripada Proton Perdana kepada Toyota Vellfire.

Mereka kemudian membuat keputusan menentangnya selepas syarikat yang dilantik untuk membekalkan kenderaan untuk kegunaan rasmi menteri dan pegawai kanan kerajaan mengesahkan terdapat bekalan Perdana yang mencukupi untuk digunakan.

Pada masa itu, bekas perdana menteri Najib Abdul Razak telah mengecam PH kerana mengubah fikiran mereka selepas mendapat bantahan orang ramai.

"Sebelum dikecam, Proton Perdana tak ada stok kerana tiada lagi dalam pasaran. Sebab itu, PH terpaksa pilih Vellfire. (eh.. X70 kan ada?)

"Selepas dikecam, kerajaan PH kekalkan Proton Perdana sebagai kereta rasmi walaupun tiada lagi dalam pasaran.

"Tak payah nak belit-belit lagi. Senang cerita. Gunalah kereta terbang nasional jika Proton Perdana benar-benar tidak dikeluarkan lagi. Support kereta terbang nasional," sindir Najib ketika itu.

Projek ‘kereta terbang’ merujuk kepada inisiatif yang diperkenalkan oleh menteri pembangunan usahawan ketika itu Redzuan Yusof yang telah mendapat kecaman orang ramai.

Selepas pendedahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah beralih kepada kereta Toyota Vellfire, Najib sekali lagi tular di media sosial selepas dipertikai oleh seorang netizen.

Netizen itu menegaskan Najib pernah mengkritik PH sebelum ini kerana mahu menukar kereta rasmi menteri kepada Toyota Vellfire.

Dia kemudiannya secara sinis bertanya sama ada bekas perdana menteri itu ingin mengadu tentang isu ini juga.

 

Sebagai respons, Najib hari ini berkata bahawa keputusan berkaitan menukar kenderaan rasmi menteri persekutuan kepada Toyota Vellfire tidak mempunyai kaitan dengannya.

"Kenapa salah Najib pula? Yang cadang Vellfire untuk ,enteri pada bulan Januari 2020, kerajaan PM7 (Dr Mahathir Mohamad).

"Yang akhirnya mula ganti dengan Vellfire pada bulan April 2021 semasa Darurat dan tak ada parlimen, kerajaan PM8. (Muhyiddin Yassin).

"Nak tanya, tanyalah pada 'Atok' dengan 'Abah' kau," kata ahli parlimen Pekan itu.

'Atok' dipercayai merujuk kepada Mahathir, sementara 'Abah' merupakan gelaran yang pernah dikaitkan dengan Muhyiddin ketika menjadi perdana menteri.

Najib juga menegaskan bahawa pada April 2021, Muhyiddin dilaporkan berkata kerajaan tidak mempunyai banyak wang selepas memperuntukkan RM600 bilion untuk Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan.

AMK: Siapa yang pakai?

Dalam satu kenyataan berasingan hari ini, Pemuda PKR (AMK) berkata pengiraan berhubung kos pajakan kereta Toyota Vellfire hanya menimbulkan lebih banyak persoalan, kerana nampaknya terdapat lebih banyak Vellfire daripada jumlah menteri dalam Kabinet.

"Jika dihitung kos ini melibatkan 41 buah kereta Vellfire sedangkan umum mengetahui kabinet kerajaan Malaysia hanya mempunyai 32 orang Menteri.

"Jadi siapa yang menggunakan baki sembilan buah Vellfire? Adakah Duta Khas Bertaraf Menteri juga menikmati kemudahan sama?" soal setiausaha Pemuda PKR Syukri Razab.

Tambahnya, Belanjawan 2022, yang disebut-sebut sebagai belanjawan mesra rakyat, dipenuhi dengan pemberian dan bantuan langsung yang disasarkan kepada rakyat umum.

Bagaimanapun, dengan pendedahan mengenai Vellfire, katanya, adalah jelas bahawa pemberian "kecil" itu hanya bertujuan untuk mengalih perhatian daripada kemewahan yang dinikmati oleh menteri persekutuan.

Katanya, rakyat kini sedang bergelut dari segi kewangan di tengah-tengah kegawatan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

"Adakah rakyat masih ingin 'mengenyangkan' pemimpin Perikatan Nasional dan Barisan Nasional sedangkan rakyat di bawah masih menderita?

"Tepuk dada, pandang keluarga," katanya.

Lihat Komen
ADS