23 aktivis ditahan pertahan kampung setinggan

K Kabilan        

Seramai 23 aktivis hak asasi manusia, tiga daripadanya perempuan, ditahan polis pagi ini setelah berlaku pergelutan dengan para pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ketika operasi merobohkan rumah setinggan di Kampung Berembang, Ampang.

Para pegawai penguatkuasa MPAJ yang turut diserta oleh anggota Rela dan polis telah pergi ke kampung tersebut untuk merobohkan kira-kira 60 buah rumah di kampung Melayu yang terletak kira-kira 10km dari Menara Berkembar Petronas.

Bagaimanapun kedatangan mereka disambut dengan protes oleh penduduk kampung yang disokong oleh aktivis dari pertubuhan bukan kerajaan, Jerit dan ahli jawatankuasa penaja Parti Sosialis Malaysia.

Pergelutan telah berlaku antara pasukan penguatkuasa dan penduduk kampung itu hingga memaksa polis campurtangan dan sembilan aktivis ditahan.

Empat buah rumah telah dirobohkan bagaimanapun selepas berlaku ketegangan dan pergelutan itu, operasi tersebut ditangguhkan.

Seorang anggota pertubuhan Suara Hak Asasi Manusia, (Suaram) Chang Lih Kang berkata, mereka yang ditahan dibawa ke balai polis Taman Keramat dan Ampang Jaya.

"Suaram mengutuk penahanan para aktivis itu," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu Jerit pula menyatakan, penduduk berkenaan telah diberikan notis berpindah di bawah Ordinan Darurat.

"Mereka diberikan notis berpindah walaupun rumah alternatif mereka belum disiapkan,"jelas pertubuhan itu dalam satu kenyataannya.

Jerit adalah sebuah pertubuhan yang membela nasib setinggan dengan membantu mereka berhubung dengan pihak berkuasa tempatan serta mendapatkan pampasan serta rumah alternatif bagi menggantikan rumah yang dirobohkan.

"Pada 2 November pendudk kampung ini telah menemui Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ramli Mahmud yang memberi jaminan mereka boleh tinggal di kampung itu sehingga rumah alternatif mereka disiapkan pada April tahun depan," kata Jerit.

Para penduduk juga telah memfailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam bantahan terhadap kerja perobohan rumah mereka. Pada Jumaat lalu mahkamah berkenaan menangguhkan perbicaraannya kepada April 2007.

Kampung Berembang telah dihuni oleh kira-kira 470 penduduk berkenaan sejak 30 tahun lalu tetapi mahu dirobohkan oleh kerajaan Selangor di bawah agenda setinggan sifarnya tahun ini. Berita asal

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In