Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AGC digesa perjelas keputusan tak rayu kes Ku Nan

Jabatan Peguam Negara (AGC) mesti menjelaskan keputusannya untuk tidak merayu keputusan pembebasan bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor dalam kes rasuah.

Badan Peguam Malaysia berkata pihaknya "terganggu dengan keputusan AGC yang dikatakan untuk menarik balik rayuan itu, dengan mengambil kira fakta bahawa keputusan Mahkamah Rayuan tidak dibuat sebulat suara".

"Peguam negara (AG) ialah penasihat undang-undang utama kerajaan dan juga pendakwa raya. 

"Kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk memulakan sebarang prosiding bagi sesuatu kesalahan boleh dilaksanakan mengikut budi bicaranya.

"Menurut pandangan kami, sebab di sebalik penarikan balik rayuan dalam kes berprofil tinggi sedemikian mesti didedahkan untuk menunjukkan pertanggungjawaban kepada rakyat," tegas Presiden Badan Peguam Malaysia AG Kalidas (gambar, bawah) pada satu kenyataan hari ini.

"Tidak dapat disangkal, AG mesti menjawab atas pelaksanaan kuasa perlembagaan yang dipegangnya dan budi bicara untuk menghentikan pendakwaan, kerana kuasa ini dilaksanakan bagi pihak rakyat dan untuk rakyat," katanya.

"Kuasa budi bicara luas yang dipegang oleh Peguam Negara dalam kapasitinya sebagai pendakwa raya mesti ditimbang secara menyeluruh terhadap kedaulatan undang-undang dan pentadbiran keadilan.

"Sebarang cadangan bahawa seorang tokoh awam boleh menggunakan pengaruhnya untuk 'mengecualikan' dirinya daripada akauntabiliti mesti dielakkan sama sekali," katanya.

Pada 17 Nov, The Edge dalam laporannya berkata ia telah "difahamkan dengan pasti" yang pihak pendakwaan telah menarik balik rayuannya.

Pada Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyabitkan Tengku Adnan ketika menjadi menteri wilayah persekutuan bersalah menerima rasuah RM2 juta daripada pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd, Chai Kin Kong.

Dia dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan keputusan itu pada Julai lalu.

Pengerusi panel hakim Suraya Othman memutuskan RM2 juta yang diterima Tengku Adnan adalah sumbangan politik untuk dua pilihan raya kecil (PRK).

Suraya berkata Mahkamah Tinggi gagal mengambil kira kegagalan pihak pendakwaan untuk memeriksa semula Chai, yang merupakan saksi utama pendakwaan, bahawa wang RM2 juta itu adalah untuk sumbangan politik kepada Umno bagi dua pilihan raya pada 2016.

Sementara itu, seorang panel hakim yang menolak rayuan itu pula berkata Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang betul dalam kes itu.

Dia juga menyifatkan langkah Tengku Adnan untuk bergantung kepada keterangan Chai, bahawa wang itu adalah sumbangan politik, sebagai "swadiri" (self-serving).

Dia juga berkata Tengku Adnan memberi keterangan bertentangan berkenaan dakwaan resit Umno untuk menunjukkan wang tersebut memang untuk sumbangan kepada parti itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS