mk-logo
Berita
Pemuda PAS tolak pandangan tak selari dengan presiden
Diterbitkan:  Nov 27, 2021 9:37 AM
Dikemaskini: 1:50 AM

Pemuda PAS Malaysia menegaskan sebarang kenyataan yang dibuat pihak tertentu dan tidak selari dengan pendirian presiden mereka, Abdul Hadi Awang, bukankan ketetapan rasmi parti.

Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari berkata mereka berdiri teguh di belakang Abdul Hadi dalam isu penyatuan ummah di negara ini.

Menurutnya aspek terbesar bagi mengukuhkan penyatuan ummah ialah menyatukan masyarakat Melayu Islam serta bumiputera yang majoriti serta mesti melibatkan semua pihak bagi meraikan kemajmukan masyarakat Malaysia.

"Pemuda PAS berdiri teguh dengan kenyataan presiden yang menjadi dasar perjuangan parti dan menegaskan, sebarang kenyataan daripada mana-mana pihak yang tidak selari dengan kenyataan tersebut bukanlah pendirian rasmi parti, dan tidak wajar dikaitkan dengan PAS," katanya dalam kenyataan dikeluarkan malam tadi.

PAS kini berdepan dengan isu memilih kerjasama di antara Umno - yang dimeterai terlebih dulu melalui Muafakat Nasional (MN) - dengan Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN).

Berbanding MN, gabungan PN adalah entiti yang berdaftar.

Tindakan PAS teguh bersama PN semasa pilihan raya negeri (PRN) di Melaka baru-baru ini menyaksikan rasa tidak puas hati sesetengah pihak khususnya apabila calon mereka bersaing dengan Umno-BN di tujuh kerusi.

Dukung penuh pandangan Hadi

Semalam Kelab Veteran Umno mencadangkan agar MN dibubarkan saja bagi menamatkan polemik berpanjangan dengan PAS.

Setiausaha agungnya, Mustapha Yaakub, berkata keputusan muktamad sebenarnya sudah dibuat PAS apabila parti itu menolak MN dan memilih PN.

“Oleh itu lebih baik dibuat keputusan muktamad dengan membubarkannya. Habis cerita dan tutup buku,” katanya. 

Isu berkenaan juga dilihat membuat PAS 'bergolak' apabila ada sekumpulan pemimpinnya cenderung untuk memilih kerjasama dengan Umno berbanding Bersatu.

Pemerhati berpendapat perbezaan pandangan itu dapat dilihat dalam pemilihan pemimpin pusat PAS di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Beberapa hari selepas PRN Melaka berakhir - dan PAS gagal memenangi sebarang kerusi - Ahli Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengingatkan agar partinya memperbetulkan keadaan dan bekerjasama semula secara langsung dengan Umno.

Malah Nik Abduh yang kalah dalam pemilihan baru-baru ini menganggap "sebaik-baik perjanjian politik termeterai sejak berpuluh tahun" lalu ialah MN. 

Nik Abduh bagaimanapun dibawa menyertai Jawatankuasa Pusat PAS melalui lantikan pada 23 Nov lalu. 

Untuk rekod Abdul Hadi sebelum ini menegaskan PAS kekal mementingkan kerjasama dengan Umno melalui MN dan pada masa sama tetap meneruskan keberadaan mereka dalam PN.

Namun pada masa sama duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu juga menegaskan PAS menolak Muafakat Nasional (MN) yang "terbelenggu dengan hanya melibatkan Umno dan PAS sahaja."

Kata Abdul Hadi PAS juga menolak fahaman yang menafikan adanya masyarakat majmuk dan wajib ditangani oleh gagasan lebih besar iaitu melalui PN.

Menurut Ahmad Fadhli Pemuda PAS mendukung penuh kenyataan Abdul Hadi itu.

"Penyatuan ummah tidak boleh terhad kepada sesetengah kelompok saja, ia mesti bergerak selari," katanya.

Lihat Komen
ADS