Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Papan tanda SJK(C) tiada tulisan Cina: Perlu tanya KPM, k'jaan negeri - Halimah

Menteri Perpaduan Halimah Mohamed Sadique dilihat tidak menjawab secara terus isu berkaitan papan tanda bagi beberapa sekolah rendah bantuan kerajaan beraliran Cina di Pahang.

Halimah berkata perkara itu seharusnya dijawab oleh Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri.

"Oleh kerana (arahan) ini daripada Jabatan Pendidikan (Pahang), saya fikir kita patut dapat respons daripada Kementerian Pendidikan," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Sin Chew Daily berkenaan beberapa sekolah rendah aliran Cina di Pekan, Pahang yang menerima papan tanda baru nama sekolah baru tanpa aksara Cina.

Menurut laporan itu, papan tanda mengandungi nama sekolah SJK(C) dalam Bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

Ketika diberitahu yang Sin Chew memetik Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon yang berkata dia akan campur tangan dalam perkara itu, Halimah bertegas yang soalan lanjut perlu ditujukan kepada Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri.

Berhubung jika langkah itu menandakan ada agensi kerajaan yang tidak sensitif terhadap kepelbagaian budaya, Halimah berkata: "Ini adalah dari segi tanggungjawab yang berkaitan oleh institusi pendidikan. Walaupun di peringkat sekolah."

"Jadi apa-apa keputusan dibuat berdasarkan apa yang ada pada kementerian tersebut. Jadi yang ini saya tak boleh jawab," katanya yang merupakan ahli parlimen Kota Tinggi.

Terdahulu, Halimah bersama-sama Perdana Menteri Ismail Sabri melancarkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ditanya jika arahan tersebut boleh dilihat sebagai bertentangan dengan usaha memupuk perpaduan negara, Halimah sekali lagi berkata keputusan untuk memasukkan bahasa selain Bahasa Malaysia bergantung kepada kerajaan negeri dan kementerian berkaitan.

"Macam saya sebut, dari segi penjenamaan, Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan.

"Jadi misalnya kalau nak dimasukkan bahasa lain, ia patut (bergantung kepada) keputusan kementerian. Kalau di peringkat negeri, ia ada kaitan dengan kerajaan negeri.

"Kalau ada pendapat (mengatakan) ada keperluan (untuk itu), ia terpulang kepada kementerian dan kerajaan negeri. Tetapi Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan," katanya lagi.

Bagaimanapun dia enggan mengulas kritikan beberapa pihak yang antaranya mengatakan langkah tidak memasukkan aksara Cina pada papan tanda itu adalah tanda "tidak hormat" terhadap masyarakat tersebut.

"Saya tak nak jawab ini kerana ia menjurus kepada perkara spesifik. Saya fikir kita dapatkan respons Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri," katanya lagi.

Semalam Mah turut dilaporkan telah telah mengarahkan jabatan pendidikan negeri membuat papan tanda baru yang mengandungi aksara Cina dan Tamil manakala papan tanda nama sekolah sedia ada tidak perlu diturunkan.

Lihat Komen
ADS