Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kleptokrasi lwn 'betul semula' negara: Najib, Nazir cukup berbeza - Lim
Diterbitkan:  Nov 28, 2021 2:41 PM
Dikemaskini: 2:42 PM

Veteran DAP Lim Kit Siang membangkitkan tentang laluan berbeza yang diambil Nazir dan Najib, dua anak lelaki kepada perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein.

Katanya, seorang sedang cuba merealisasikan ‘pembetulan semula’ (reset) untuk negara, dengan mengakui bahawa dasar-dasar lampau telah menyuburkan korupsi. Seorang lagi pula sedang cuba menghidupkan semula rejim lama yang dihantui kleptokrasi.

“Inilah perbezaan ketara dua beradik, kedua-duanya anak lelaki Tun Razak - seorang menggesa pembetulan semula besar-besaran terhadap dasar dan institusi negara sementara seorang lagi, Najib Razak bercita-cita menjadi perdana menteri ke-9 yang akan menyebabkan Malaysia terbenam jauh dalam kleptokrasi,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Ahli parlimen Iskandar Puteri itu berkata cita-cita Najib untuk membuat kemunculan semula akan semakin hampir menjadi kenyataan jika dia dibebaskan dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Najib telah membuat rayuan ke atas sabitan bersalah untuk kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah, dan Mahkamah Rayuan akan memberikan keputusannya pada 8 Disember.

Pada Julai tahun lalu, dia dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta untuk penyelewengan wang SRC International, bekas anak syarikat 1MDB milik negara.

Kata Lim, sekiranya mendapat pembebasan, Najib mungkin memulakan gerakan kemunculan semulanya dengan mendesak agar pilihan raya diadakan pada pertengahan pertama tahun hadapan.

Katanya, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah pun menyatakan perjanjian persefahaman (MOU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH), yang menjanjikan bahawa parlimen tidak akan dibubarkan lebih awal daripada Julai 2022 bagi memberi masa untuk pembaharuan dilakukan, bukanlah “kitab suci” yang tidak boleh diubah.

Tambahnya, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki turut menggesa ke arah naratif sedemikian.

Gesaan supaya mengadakan pilihan raya umum (PRU) timbul di tengah-tengah kemenangan besar BN dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov lalu yang menyaksikan BN menang besar 21 daripada 28 kerusi.

Dakwa Lim, Najib mempunyai ramai pekerja yang menulis dan menaikkan artikel di media arus perdana, mengalu-alukan kepulangannya sebagai perdana menteri ke-10. Najib menjadi perdana menteri keenam dari 2009 hingga 2018.

“Tetapi di kala Najib bersiap sedia mencetuskan rancangan bagi kepulangannya sebagai perdana menteri ke-19, adiknya, Nazir Razak dan kumpulan tokoh terkemuka Malaysia mengumumkan rancangan untuk pembetulan semula dasar dan institusi negara bagi merealisasikan aspirasi asal bangsa Malaysia," katanya.

Tidak seperti Najib, kata Lim Nazir mengakui terdapat kesan negatif daripada dasar pembangunan negara sejak setengah abad lalu yang membawa kepada peningkatan rasuah, menguatkan politik berdasarkan identiti dan penumpuan kuasa yang saling menguntungkan satu sama lain, serta menjadi punca kepada kegagalan sistem di Malaysia hari ini.

“Seperti yang diakui oleh para penggerak gerakan Malaysia Yang Lebih Baik, pembaharuan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak digagas untuk bertahan selama-lamanya, seperti DEB yang mempunyai had jangka masa 20 tahun,” katanya.

Kata Lim, rakyat Malaysia pada 2018 telah “menyelamatkan” negara daripada kleptokrasi, tetapi tambahnya, terdapat keperluan untuk perjuangan jangka masa panjang bagi menjadikan negara sebuah bangsa bertaraf dunia yang menjunjung cita-cita para pemimpin pengasas Malaysia.

Nazir bersama sekumpulan tokoh terkemuka menggesa penubuhan sebuah platform tanpa parti untuk mencadangkan pembaharuan dan pembetulan semula sistem dan insitusi negara.

Kata tokoh-tokoh berkenaan, ahli parlimen sering gagal menangani isu teras struktur kerana mereka sering mengutamakan kepentingan jangka pendek dan pilihan raya mereka sendiri, menyebabkan perlunya satu platform perundingan akan menjadi pendekatan lebih baik untuk mendorong pembaharuan.

Kumpulan tokoh itu juga akan mengenal pasti perubahan dasar dan perundangan khusus yang diperlukan, yang dijangka Nazir mengambil 18 hingga 24 bulan masa perbincangan secara tertutup untuk mencapai kata sepakat.

Lihat Komen
ADS