mk-logo
Berita
Isu sekolah vernakular: 'Ahli politik tolong diam'
Diterbitkan:  Nov 30, 2021 5:29 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Seorang peguam menasihatkan semua ahli politik agar "duduk diam-diam" dan membiarkan mahkamah menetapkan keputusan berhubung isu keabsahan sekolah vernakular di negara ini.

Menurut Mohamed Haniff Khatri Abdulla mereka terdiri daripada ahli politik yang gagal menyelesaikan isu berkenaan sejak 64 tahun lalu.

"Saya menyarankan semua pihak (ahli) politik yang gagal selama 64 tahun untuk menyelesaikan isu keperlembagaan sekolah vernakular agar duduk diam-diam, tunggu keputusan mahkamah.

"Jika tidak maka mana-mana pihak yang terlibat dalam isu ini bebas mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap man-mana pemimpin ini yang selama ini gagal membangkitkan perkara ini secara betul di mahkamah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Haniff Khatri mempolemikkan itu itu sekarang bukanlah jalan yang betul untuk menyelesaikan isu kewujudan sekolah vernakular.

Dia menjelaskan jika ahli politik terbabit serius mahu menyelesaikan isu tersebut mereka sepatutnya mencelah dengan memfailkan permohonan untuk menjadi pihak pembelaan atau plaintif.

Langkah tersebut katanya sudah diambil beberapa pihak seperti MIC, MCA, Gerakan, Dong Zong dan pelbagai persatuan sekolah Cina atau Tamil.

Mahkamah belum buat keputusan

Haniff Khatri yang bertindak sebagai peguam kepada plaintif - iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) - sebelum ini memohon perintah mahkamah agar sekolah vernakular menghentikan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijangka membuat keputusan terhadap permohonan tersebut pada 29 Dis ini.

Antara ahli politik yang bersuara sehari dua ini, kata Haniff Khatri, ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy, and Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim; Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir (Bersatu) serta MIC.

Katanya ahli politik sepatutnya tidak mempolitikkan perlembagaan negara seperti yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

"Jangan cuba mengambil langkah yang boleh ditafsirkan sebagai menghina mahkamah sedangkan mahkamah belum membuat keputusan lagi," katanya.

Menurut peguam terbabit semua ahli politik perlu memahami bahawa pelbagai pihak sudah mengemukakan hujah masing-masing berkaitan isu keperlembagaan sekolah vernakular di mahkamah.

Justeru katanya biarlah mahkamah buat keputusan seperti yang sepatutnya.

Mengenai kenyataan Wan Ahmad Fayhsal dan Ashraf Mustaqim, Haniff Khatri berkata, dua pemimpin muda Bersatu itu sepatutnya sedar bahawa Menteri Pendidikan sekarang ialah pemimpin kanan parti mereka, Radzi Jidin.

"Kenapakah mereka cuma bersuara dan bermain retorik politik sedangkan pemimpin parti mereka sendiri yang menjadi menteri itu sendiri tidak mengambil langkah meletakkan polisi ini suatu keutamaan dalam perlembagaan.

"Defendan pertama dalam kes ini ialah Kementerian Pendidikan Malaysia, manakala defendan kedua kerajaan Malaysia.

"(Mereka) cakap kena serupa bikin, bawa perkara ini kepada menteri (Radzi) dan minta menteri nasihatkan, atau minta Jabatan Peguam Negara mengambil langkah perlu untuk menaik taraf perlembagaan," katanya.

Untuk rekod saman berkenaan memohon mahkamah mengisytiharkan kewujudan sekolah vernakular melanggar Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang mentakrifkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ia juga memohon mahkamah mengisytiharkan peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996 yang membolehkan penubuhan sekolah vernakular sebagai tidak sah di sisi perlembagaan.

Lihat Komen
ADS