Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim: Gunakan RM3 bilion dari cukai makmur untuk subsidi harga barang
Diterbitkan:  Dec 1, 2021 12:30 PM
Dikemaskini: 4:30 AM

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mencadangkan dana RM3 bilion yang diperolehi daripada cukai makmur disuntuk ke dalam sebuah tabung tabung yang menyediakan insentif untuk meningkatkan bekalan dan pengeluaran serta memberi subsidi bagi mengurangkan kenaikan harga barangan asas.

Lim berkata, tabung itu juga akan membantu mengurangkan ketidakstabilan harga dengan penyumberan terus daripada pengeluar atau mengurangkan kos logistik.

"Di bawah Belanjawan 2022, peruntukan yang disediakan terlalu kecil, misalnya RM200 juta untuk membantu mengurangkan harga barangan asas untuk penduduk luar bandar dan di pulau, serta RM400 juta untuk skim penstabilan harga minyak masak, serta RM40 juta subsidi untuk tepung kegunaan am.

"Negara berdepan krisis inflasi yang besar susulan peningkatan harga makanan, barangan asas serta kos pembinaan.

"Kerajaan persekutuan perlu bertanggungjawab bukan saja atas kegagalan untuk bertindak lebih awal tetapi juga menangani krisis, dengan Majlis Pemulihan Negara dan perdana menteri memberi tumpuan penih kepadanya," katanya dalam kenyataan.

Cukai Makmur diumumkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2022.

Cukai secara one off untuk dikenakan kepada syarikat yang meraih keuntungan melebihi RM100 juta akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33 peratus bagi tahun taksiran 2022.

Dalam kenyataan hari ini, Lim berkata kerajaan persekutuan seolah-olah tidak mampu untuk menangani krisis kali ini.

"Negara tidak boleh gagal sekali lagi selepas kegagalan sebelum ini dalam menguruskan wabak kemelesetan ekonomi dan wabak Covid-19.

"Walaupun Muhyiddin Yassin telah letak jawatan, muka-muka sama yang bertanggungjawab terhadap kegagalan kerajaan (sebelum ini) masih dalam kabinet sekarang," katanya lagi.

Lim juga berkata, dengan kenaikan harga serta pendapatan rakyat yang tidak meningkat, sebarang bantuan kewangan oleh kerajaan menjadi tidak bermakna.

"Kerajaan perlu berhenti meletakkan seluruh kesalahan kepada peniaga, petani atau perniagaan di saat mereka turut menjadi mangsa kenaikan harga ekoran faktor permintaan dan bekalan, serta peningkatan kos logistik dan pengangkutan.

"Tindakan untuk mengambil tindakan terhadap peniaga hanya untuk menutup kegagalan menteri yang tidak cekap tetapi tidak menyelesaikan masalah kenaikan harga," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS