Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin beri amaran bahaya sistem parti politik dominan

Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin hari ini memberi amaran mengenai kesan buruk akibat sistem parti politik dominan seperti yang berlaku pada era pentadbiran BN sebelum gabungan itu tumbang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Dalam ucapan sempena perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan ke-50 pagi ini, Muhyiddin berkata, pemusatan kuasa yang diperolehi BN  menyaksikan salah guna kuasa dan rasuah berlaku begitu berleluasa berikutan ketiadaan prinsip semak dan imbang.

"Sistem politik ini yang mampu mewujudkan kestabilan politik pada awalnya dilihat berkesan untuk memacu pembangunan negara yang pesat.

"Namun, lama kelamaan kuasa politik yang dominan semakin berpusat kepada individu yang memimpin parti dan kerajaan. Ahli-ahli parti akur dengan setiap keputusan dan tindakan pemimpin parti walaupun ia tidak semestinya betul.

"Malah, penyelewengan dan pelanggaran undang-undang oleh pemimpin parti juga sering berlaku tetapi dipandang sepi oleh pimpinan parti yang lain kerana mereka takut tersingkir daripada parti yang berkuasa dominan dalam kerajaan. Tidak ramai yang mahu mengambil risiko untuk menyatakan perkara yang betul dan benar," katanya,

Lebih malang, katanya, ada pihak yang turut sama melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa kerana beranggapan mereka akan dilindungi selagi mana menyokong pemimpin parti yang mendominasi kerajaan.

"Mereka fikir mereka boleh terlepas dan tidak akan dihukum. Kesannya, penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah terus berlaku dengan berleluasa dan dihalalkan oleh pengikut parti," katanya.

Muhyiddin, yang merupakan presiden Bersatu, adalah bekas pemimpin Umno yang dipecat daripada parti itu pada 2016 berikutan perselisihan pendapat dengan presiden Umno ketika itu Najib Razak berhubung skandal 1MDB.

Dia juga merupakan timbalan perdana menteri dan anggota kabinet Najib pada ketika itu.

Menurut Muhyiddin, sistem parti dominan runtuh pada 2018 apabila BN tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan menyebabkan parti-parti politik terpaksa bekerjasama untuk membentuk kerajaan.

Dalam pentadbiran kerajaan persekutuan pada hari ini, katanya, tidak ada mana-mana parti boleh mendakwa mereka adalah parti dominan yang boleh melakukan apa sahaja tanpa mengambil kira pandangan parti-parti lain.

Sokongan pada kerajaan bersyarat

Katanya, sebagai parti yang mendukung prinsip integiriti, Perikatan Nasional (PN)meletakkan syarat yang tegas bahawa sokongan kepada kerajaan pada hari ini adalah tertakluk kepada kepatuhan kerajaan terhadap prinsip dan nilai initegriti.

"Ini termasuklah syarat untuk terus menentang rasuah dan salah guna kuasa serta tidak sekali-kali mencampuri urusan mahkamah.

"Institusi mahkamah termasuk agensi pendakwaan mestilah dipastikan bebas untuk menegakkan keadilan tanpa diganggu-gugat oleh sesiapapun semata-mata untuk melindungi kepentingan pihak tertentu.

"Kerajaan juga tidak boleh tunduk kepada tekanan kumpulan kleptokrat demi kepentingan diri mereka sendiri,” katanya.

Muhyiddin turut menegaskan bahawa PN mempunyai tanggungjawab moral untuk memberikan sokongan kepada kerajaan selagi mana prinsip ini dipatuhi dan kumpulan 'kleptokrat' tidak kembali berkuasa.

"Jika ini berlaku, kita mesti memutuskan perkara yang paling bermaruah untuk dilakukan dan ini termasuk mengembalikan mandat kepada rakyat apabila tiba masanya," katanya.

Lihat Komen
ADS