Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Langkah sukar See pertahan Batu Lintang - membuang label 'katak'

PRN SARAWAK | Di kawasan selatan bandar raya Kuching terdapat kerusi pilihan raya Batu Lintang yang makmur, yang telah menjadi kerusi kuat pembangkang sejak 2006.

Bagaimanapun, pilihan kali ini kurang jelas untuk pengundi di situ, di mana majoriti daripada mereka terdiri daripada orang Cina.

Terdapat empat calon pembangkang untuk dipilih dan salah seorang daripadanya ialah penyandang kerusi DUN itu See Chee How, yang baru sahaja menyertai sebuah Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Di sebuah kedai kopi di Tabuan Jaya, pesara Rocky Chan, 64, menyuarakan kekecewaannya dan mendakwa Adun selama dua penggal itu berpaling tadah daripada Pakatan Harapan.

“Kami mengundi dia (See) tetapi tiba-tiba dia melompat ke parti lain tanpa memberitahu saya!

“Dia seorang yang baik tetapi saya tidak tahu banyak tentang parti barunya,” katanya yang bimbang sekiranya See melompat parti semula apabila dia dipilih oleh pengundi.

“Kami panggil dia katak. Prinsipnya sudah tidak sama lagi. Dalam hidup, kita perlu ada prinsip,” katanya kepada Malaysiakini sambil mereka yang berada di kedai itu turut mengangguk tanda setuju.

See ialah bekas naib pengerusi PKR Sarawak. Dia dipecat daripada parti itu pada April 2020 selepas "Langkah Sheraton" pada akhir Februari 2020. Kemudian, pada Mei 2020, dia menyertai PSB, sebuah parti yang baru ditubuhkan.

Situasi antara dipecat dan berpaling tadah nampaknya tidak dapat dibezakan oleh pengundi yang hanya ingin dikenali sebagai Liew, pemilik salun rambut di tengah-tengah bandar Tabuan Jaya itu.

Dia juga menganggap See sebagai "katak" dan bertegas bahawa dia tidak akan mengundinya untuk kali ketiga.

“Mereka yang melompat parti akan kalah. Orang ramai tidak suka kepada mereka. Dia melompat seperti katak.

“Saya mengundinya dua kali tetapi tidak lagi kali ini. Tiada kali ketiga,” kata Liew kepada Malaysiakini.

Cubaan ketiga

Saingan See, Sih Hua Tong dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) - Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Berbeza dengan See, Sih sengaja menggambarkan dirinya dengan bahan kempen yang sering memaparkan karikatur lembu membajak sawah.

Pengundi melihat sebagai lambang sifat rajin dan kegigihan Sih, kerana dia pernah bertanding dan kalah di Batu Lintang pada 2011 dan 2016.

Kempen Sih juga menonjolkan dia sebagai seorang yang telah melaksanakan kerja-kerja kebajikan di kawasan itu sejak sedekad lalu walaupun tidak dipilih sebagai wakil rakyat.

Liew berkata dia sedang mempertimbangkan untuk mengundi Sih, memandangkan dia aktif dalam membantu penduduk tempatan selama ini.

Ketika ditemui selepas pencalonannya, Sih yang bersopan santun berkata dengan yakin bahawa para pengundi mengenalinya kerana “rekodnya” sebelum ini.

"Saya rasa kali ini (pengundi akhirnya akan) melihat apa yang saya boleh lakukan. Tidak kira sama ada saya menang atau kalah, saya percaya dengan apa yang saya lakukan.

“Tidak mengapa mandat tidak diberikan kepada saya sejak dua pilihan raya lalu,” katanya.

Pengundi tahu saya bukan ‘katak’

Bagi See, mesejnya kepada pengundi ialah dia tidak mengkhianati mandatnya kerana dia dipecat dari PKR.

Kejadian itu, kata See, menunjukkan kenapa dia memilih untuk menyertai PSB, kerana parti itu bebas daripada telunjuk parti di Kuala Lumpur.

See kini mempunyai baki sembilan hari lagi untuk menyampaikan mesejnya, berharap kepada risalah dan klip video Facebook, memandangkan sekatan perhimpunan atas sebab peraturan berkempen.

Ditanya mengenai perkembangan kempennya dengan mengetepikan label "katak", See percaya pengundinya mengenalinya dengan baik dan menyedari situasi yang dihadapinya.

“Saya tidak melompat. Saya dipecat oleh PKR dan menyertai PSB," tegasnya.

Ketika ditemui selepas mengedarkan risalah mengenai pencapaiannya di sebuah kawasan penjaja, See juga percaya pengundi lebih menerimanya menjadi sebahagian daripada parti yang berpangkalan di Sarawak pada pilihan raya kali ini.

"Sentimen itu ada. Saya rasa pengundi lebih mengharapkan parti berasaskan negeri dan bukannya meletakkan jangkaan mereka kepada parti yang berpusat di peringkat kebangsaan apabila bercakap mengenai hak negeri," katanya.

Batu Lintang menyaksikan pertembungan lima penjuru dalam pilihan raya kali ini.

Selain See dan Sih, tiga lagi pesaing ialah graduan undang-undang berusia 24 tahun dan muka baru dalam politik Cherishe Ng (PKR), bekas pemimpin DAP dan bekas Adun Batu Lintang Voon Lee Shan (Parti Bumi Kenyalang) dan aktivis kemerdekaan Sarawak Leong Shoaw Tung (Aspirasi).

 

Lihat Komen
ADS