Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agensi buruh Bangladesh mahu elak monopoli dalam MOU dengan M’sia

Sebuah persatuan mewakili agensi pengambilan pekerja di Bangladesh menggesa sistem "pasaran terbuka" dilaksanakan sebagai sebahagian syarat memeterai perjanjian baru di antara Dhaka dan Putrajaya, dijangka ditandatangani hujung minggu ini.

Bercakap kepada Malaysiakini, Setiausaha Agung Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Antarabangsa Bangladesh (Baira), Shameem Ahmed Chowdhury Noman, berkata sistem itu akan menyaksikan semua 1,400 ahlinya diberi peluang untuk memenuhi permintaan pekerja di Malaysia.

"Ahli kami adalah pemegang lesen aktif Kementerian Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Ekspatriat Bangladesh untuk menghantar pekerja ke negara yang mempunyai peluang pekerjaan.

“Di Malaysia, kami lihat antara 2016 dan 2018, daripada kira-kira 1,800 anggota Baira (ketika itu), hanya 10 agensi (dari Bangladesh) diberi tugas menghantar pekerja,” kata Shameem.

Sepuluh agensi terbabit, katanya, mempunyai sub-agen mereka sendiri namun setiap satu mempunyai hak yang sama.

"Jadi mengapa yang lain harus menjadi sub-agen kepada beberapa agensi itu?

"Sebab itu Baira berasakan semua pemegang lesen yang sah sepatutnya mempunyai hak yang sama untuk melakukan kerja ini apabila ada peluang.

"Ia tidak sepatutnya dimonopoli oleh segelintir agensi saja," katanya ketika dihubungi.

Kemuka cadangan kepada kerajaan

Sewaktu Pakatan Harapan menjadi kerajaan persekutuan, pada 1 Sept 2018 ia pengambilan pekerja dari Bangladesh melalui Sistem Permohonan Pekerja Asing digantung.

Langkah itu, kata kerajaan, dibuat kerana kebimbangan terhadap tanggungan hutang yang dikaitkan dengan kelulusan permit dan yuran pengambilan sehingga RM20,000 seperti yang dikenakan oleh ejen.

Malaysia - diketuai oleh menteri sumber manusia ketika itu M Kulasegaran - memulakan rundingan mengenai syarat pengambilan baru tetapi menghadapi beberapa kelewatan sebelum kerajaan PH dijatuhkan.

Malaysiakini melihat surat daripada Shameem, yang mewakili anggota Baira, dihantar kepada menteri dalam negeri ketika itu Muhyiddin Yassin pada 26 Sept 2019.

Surat itu menyerlahkan kebimbangan mengenai dakwaan percubaan oleh sebuah syarikat "kontroversi" untuk "mewujudkan semula sistem mereka yang digantung dan disenaraihitamkan".

Ditanya mengenai surat itu, Shameem berkata Baira mengekalkan pendiriannya untuk membantah sebarang bentuk cubaan "monopoli" walaupun kali ini tanpa menyasarkan mana-mana individu atau syarikat tertentu.

Katanya Baira juga mengemukakan cadangan untuk pelbagai langkah alternatif bagi mengurangkan kos pengambilan pekerja dan akhirnya menambah baik proses itu.

Pada masa yang sama, kata Shameem, ia juga akan memberi ruang kepada lebih ramai ahlinya kekal dalam perniagaan.

“Sekiranya kerajaan fikir agensi itu akan mengenakan wang tambahan, kami cadangkan mereka minta pekerja mendepositkan kos itu kepada kerajaan, dan kemudian kerajaan akan memindahkan bayaran tersebut kepada agensi pengambilan.

“Ini adalah situasi menang-menang, bukan dengan mengurangkan bilangan perekrut,” katanya.

Dianggap sekadar retorik politik

Sebelum ini dilaporkan bahawa Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmad, akan tiba di Malaysia pada 18 Dis ini dengan majlis menandatangani MOU Malaysia-Bangladesh dijadualkan pada hari berikutnya.

Walaupun masih tidak jelas sama ada kandungan penuh MOU itu akan didedahkan kepada umum atau tidak, Malaysiakini melihat dokumen yang dikatakan sebagai cadangan yang dirundingkan antara Malaysia dan Bangladesh, serta hasil yang dipersetujui.

Ia termasuk perjanjian sistem pengambilan untuk "memilih BRA (Agensi Pengambilan Bangladesh) secara automatik antara 25 BRA utama yang akan disokong oleh 250 BRA bersekutu".

Bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, sumber dalam Putrajaya yang tahu dengan rundingan itu dan berkongsi bantahan terhadap dakwaan "sindiket" terbabit mengesahkan perkara itu dibincangkan kedua-dua kerajaan.

“Kerajaan Bangladesh sangat tegas bahawa ia tidak mahu sindiket.

"Malaysia, bagaimanapun, mendesak untuk mahukan 25 agensi itu," dakwa sumber itu yang memetik perbincangan semasa mesyuarat kedua Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Bangladesh awal tahun ini.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan bulan lalu mendedahkan kebimbangan Malaysia menjadi "tempat pembuangan" pekerja Bangladesh semasa membantah permintaan 2,000 agensi pengambilan pekerja asing untuk menghantar pekerja ke sini.

Sebagai respons kepada kenyataan Saravanan, aktivis buruh migran Andy Hall hari ini berkata Dhaka dan Putrajaya mesti telus dalam keputusan mereka untuk mengenakan sebarang had baru yang dicadangkan kepada bilangan agensi pengambilan Bangladesh.

“Apa yang dikatakan menteri (Saravanan) seolah-olah cubaan menggunakan retorik politik untuk mewajarkan keputusan itu.

"Kementerian Dalam Negeri mengawal bilangan pekerja yang dibenarkan masuk ke Malaysia, jadi bilangan agensi penghantaran sepatutnya tidak relevan," kata Hall.

Malaysiakini telah menghubungi Saravanan dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia Golam Sarwar untuk mendapatkan komen.

Bagi pihak Baira, Shameem berkata angka 2,000 agensi yang disebut oleh Saravanan adalah berdasarkan "maklumat salah".

Katanya semua agensi pengambilan pekerja Bangladesh sedia ada telah menghantar pekerja ke negara penerima lain, manakala Malaysia juga telah memeterai perjanjian yang kurang ketat dengan negara pengirim seperti Nepal dan Indonesia.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS