Gabungan Kemajuan Wanita (WDC) mengecam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kerana menggunakan kekerasan ketika merobohkan sebuah surau di Kampung Berembang di Ampang awal hari ini.

"Cara yang digunakan oleh pegawai MPAJ seperti membaling kerusi dan memindah penduduk secara kekerasan tidak boleh diterima," kata Pengarah Eksekutif WDC, Maria Chin Abdullah.

"[Ia] satu pelanggaran hak asasi manusia," tambahnya dalam satu kenyataan.

Pagi ini, MPAJ dengan bantuan pihak polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU), merobohkan surau berusia 30 tahun di kampung tersebut yang terletak tidak sampai 10 km dari pusat bandaraya Kuala Lumpur.

Surau tersebut merupakan bangunan terakhir yang dirobohkan di kampung itu selepas MPAJ merobohkan kira-kira 50 rumah di tempat yang sama minggu lalu, mengakibatkan 470 penduduk hilang tempat tinggal.

Penduduk terbabit, bersama ahli badan bukan kerajaan, parti politik serta gerakan pelajar, berkumpul di kampung tersebut untuk menghalang MPAJ daripada merobohkan surau berkenaan.

Bagaimanapun, usaha mereka tidak berhasil apabila berdepan dengan tindakan agresif dan kekerasan pegawai penguatkuasa MPAJ memecahkan' tembok manusia' di sekeliling surau tersebut.

"Amat malang sekali MPAJ menggunakan cara yang tidak demokratik untuk menguatkuasakan kuasa mereka," kata Maria.

Beliau juga berkata, majlis tersebut boleh menunggu sehingga mahkamah mendengar permohonan penduduk terbabit untuk menghalang tindakan memindahkan mereka dari situ. Kes tersebut dijadual didengar April depan.

"Ia hanya lima bulan sahaja lagi. Tindakan MPAJ itu jelas memperlihatkan sikap tidak menghormati proses perundangan," katanya.

Khemah sementara

Dalam kejadian pagi ini, 11 orang sembilan orang aktivis dan dua orang penduduk ditahan kerana didakwa menghalang kerja meroboh surau tersebut.

Mereka dibawa ke balai polis Ulu Kelang Taman Keramat dan Ampang Jaya.

Sebuah lagi badan hak asasi manusia, Suaram berkata, kesebelas orang mereka harus dibebaskan segera dan menyifatkan tangkapan mereka itu sebagai tidak perlu.

"Memandangkan kes mahkamah masih belum selesai, MPAJ dan pihak polis tidak patut mengambil sikap memihak kerana tugas mereka bukannya berkhidmat kepada pemaju dalam merobohkan sesebuah rumah," kata Suaram dalam satu kenyataan.

Sementara itu, kumpulan sokongan akar umbi, Jerit, pula berkata penduduk terbabit akan terus tinggal di situ.

"Walaupun tempat tinggal sementara mereka telah dirobohkan hari ini, tetapi mereka akan mendirikan yang lain dan kekal tinggal di situ," kata E Parames ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya lagi, MPAJ sedang membina parit di tiga jalan masuk ke kampung tersebut bagi menghalang penduduk memasuki kawasan tersebut.

"Bagaimanapun, saya tidak rasa ianya akan memberi sebarang kesan kepada penduduk yang sudah pun berada di dalam kawasan tersebut," katanya. Berita asal