Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pagi ini merobohkan surau di Kampung Berembang di Ampang satu-satunya bangunan yang masih tinggal selepas rumah penduduk setinggan di kampung itu diroboh minggu lalu.
Dalam usaha menyelamatkan surau tersebut, penduduk bersama-sama ahli beberapa badan bukan kerajaan dan parti politik, terbabit dalam pergelutan dengan pegawai penguatkuasa MPAJ, yang dibantu oleh pihak polis serta anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU).
Minggu lalu, MPAJ merobohkan kesemua 50 rumah di situ, dan hanya meninggalkan bangunan surau tersebut itupun selepas bantahan penduduk dan ahli-ahli Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit).
Ekoran itu, penduduk terbabit membina khemah sementara di situ dalam usaha mereka untuk menyelamatkan surau tersebut.
Pagi ini, MPAJ, dengan menggunakan jentolak, datang untuk menyelesaikan tugas membersihkan kawasan tersebut, dan sekali lagi berdepan dengan tentangan para penduduk.
Kira-kira 60 penduduk dan aktivis hadir untuk menghalang kerja-kerja tersebut dengan meletakkan kenderaan mereka di sekeliling surau itu supaya tidak dapat dihampiri jentolak. 
Usaha Setiausaha Agung penaja Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan untuk berunding dengan pihak MPAJ, gagal dan berlaku bergelutan apabila kakitangan majlis itu mula menumbangkan pokok di luar surau tersebut.
Tetapi keadaan menjadi tidak terkawal apabila pasukan penguatkuasa MPAJ mula memotong pagar surau itu pada jam 11 pagi.
'Zon perang'
Para penduduk yang cuba menghalang tindakan meroboh surau itu telah ditolak oleh pegawai penguatkuasa MPAJ yang berjumlah lebih 100 orang.
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila anggota polis dan FRU turut masuk campur dan bertindak memukul penduduk serta penyokong mereka yang berhimpun di situ.
Wanita dan kanak-kanak yang berkumpul di dalam surau itu juga tidak terkecuali.
Seorang saksi berkata, pegawai penguatkuasa bertindak agresif terhadap wanita dan kanak-kanak. Seorang wanita yang merantai dirinya dengan rantai besi ke bangunan surau tersebut, juga dikeluarkan secara paksa.
Selepas kejadian tersebut, 11 penduduk dan aktivis ditahan dan dibawa ke balai polis daerah Ampang.
Apabila keadaan kembali tenang, Kampung Berembang kelihatan seperti 'zon perang' dengan penduduk "bergelimpangan", antaranya menangis kesakitan, manakala sebahagian lagi pengsan dan cedera dipukul polis.
Pada jam 1 tengahari, MPAJ seleasai merobohkan bangunan surau tersebut. Berita asal