Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Dedah siapa luluskan pemberimilikan tanah kolam takungan banjir'
Diterbitkan:  Dec 29, 2021 12:07 PM
Dikemaskini: 4:10 AM

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil hari ini mempersoalkan pihak yang bertanggungjawab terhadap pemberimilikan beberapa bidang tanah di Kuala Lumpur, yang sepatutnya dijadikan kolam takungan banjir.

Dalam satu kenyataan, ahli parlimen PKR itu turut menyangkal dakwaan bahawa salah satu kolam itu telah diberikan kerajaan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah.

"Ada yang kata zaman PH juga ada jual tanah kolam takungan banjir.

"Tapi sebenarnya kolam takungan Taman Desa telah diberi milik pada 12 Jun 2018. Menteri Wilayah Persekutuan (ketika itu), Khalid Samad, hanya dilantik ke kabinet pada 2 Julai 2018.

"Jadi siapa yang luluskan pemberi milikan kolam-kolam takungan banjir ini?" soalnya di Facebook.

Fahmi turut melampirkan senarai enam kolam tadahan di Kuala Lumpur yang telah diasingkan untuk projek pembangunan, seperti projek pembangunan bercampur, skim rumah mampu milik, taman rekreasi dan pangsapuri perkhidmatan.

Enam kolam tadahan yang dimaksudkan ialah kolam Batu, kolam Nanyang, kolam Delima, kolam Taman Wahyu, kolam Batu 4 1/2, dan kolam Taman Desa.

 

Menurut senarai itu, pemberimilikan kolam takungan Nanyang, Delima dan Taman Wahyu berlaku pada 9 Okt 2015, semuanya diperuntukkan untuk projek pembangunan bercampur yang akan dijalankan oleh satu pemaju, diikuti kolam Taman Desa pada 12 Jun 2018.

Kolam Batu 4 1/2 dan Batu telah diasingkan pada 5 Ogos dan 2 Sept 2020.

"Persoalan ini - serta persoalan pemberi milikan tapak-tapak kolam takungan banjir yang lain dari 2015 hingga 2020 - mungkin boleh dijawab oleh beberapa pihak iaitu Menteri Wilayah pada zaman 2013-2018: Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Wilayah pada Mac 2020 - Ogos 2021: Annuar Musa, dan Menteri Wilayah hari ini: Shahidan Kassim.

"Sekiranya tanah tersebut milik kerajaan persekutuan (ie Pesuruhjaya Tanah Persekutuan), mungkin isu ini turut boleh dijelaskan Ketua Setiausaha Negara pada zaman Menteri-Menteri di atas berkhidmat (Ali Hamsa 2012-2018 dan Mohd Zuki Ali 1 Jan 2020-kini)," kata Fahmi.

Pengarah komunikasi PKR itu berkata dia juga bersetuju dengan gesaan yang dibuat oleh dua lagi Ahli Parlimen PH - Hannah Yeoh dan Lim Lip Eng - agar isu itu disiasat oleh SPRM.

Semalam, Yeoh mengadakan sidang media menggesa SPRM menyiasat pemberimilikan enam kolam tampung banjir.

Gesaan itu dibuat selepas Malaysia dilanda banjir besar di beberapa negeri berikutan hujan lebat dan diberi amaran mengenai potensi banjir gelombang kedua.

Dia berkata pemberimilikan itu akan menjejaskan kapasiti kolam takungan serta melumpuhkan operasi di bawah sistem Tebatan Banjir Kuala Lumpur.

Lihat Komen
ADS