Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pahang tamatkan izin melombong firma berkaitan kerabat diraja

Kerajaan Pahang akhirnya memutuskan untuk menghentikan aktiviti perlombongan yang dikaitkan dengan kerabat diraja berhampiran Tasik Chini di Pekan, Pahang.

Ia susulan laporan Malaysiakini pada Jun yang menyatakan bagaimana kerajaan Pahang - pada 2018 - telah memberikan hak pajakan perlombongan kepada firma berkaitan kerabat diraja di kawasan sensitif untuk alam sekitar, meskipun kerajaan negeri berjanji untuk memulihkan Tasik Chini.

Exco alam sekitar Pahang, Mohd Sharkar Shamsudin, mengesahkan pembatalan projek itu sambil menyatakan ia adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memulihkan keadaan semula jadi tasik air tawar kedua terbesar di negara ini.

Sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan, katanya, kerajaan Pahang juga akan memperluaskan kawasan Hutan Simpan Chini.

Bagaimanapun, sebidang tanah yang dikenal pasti sebagai Lot 89798 di Mukim Penyor, yang terletak projek perlombongan yang dibatalkan itu, tidak dimasukkan ke warta hutan simpan tersebut.

Menurut kenyataan Jabatan Perhutanan Pahang kepada Malaysiakini, pewartaan Hutan Simpan Chini itu diluluskan mesyuarat exco Pahang pada 13 Mac 2019 meliputi kawasan seluas 4,635.39 hektar (11,453.085 ekar), di bawah Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984.

“Selain itu, exco Pahang pada 7 Julai 2021 meluluskan tambahan kawasan tanah untuk diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini, meningkatkan keluasan hutan simpan keseluruhannya kepada 6,502.8 hektar.

"Ini telah diwartakan pada 21 Julai, 2021," katanya.

Mengenai Lot 89798 di Mukim Penyor, kata jabatan terbabit, ia bukan sebahagian daripada kawasan yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini.

Ada pengecualian diberikan

Lot 89798 terletak kira-kira 3 kilometer dari Tasik Chini, Rizab Biosfera Unesco yang bergelut dengan isu pencemaran ekoran perlombongan dan pembalakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada 2009 mengisytiharkan kawasan Tasik Chini sebagai salah satu rizab biosferanya tetapi berisiko kehilangan status jika tidak dipulihkan.

Pada Julai, Unesco - melalui unit medianya - mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa status Tasik Chini sebagai rizab biosfera telah ditetapkan untuk semakan berkala, dan kerajaan akan mempunyai tempoh lebih singkat dari setahun untuk bertindak mengikut cadangan bagi mengekalkan statusnya.

Unesco memaklumkan Malaysiakini senarai cadangan awal telah dikongsi dengan kerajaan pada 18 Mei. Beberapa permintaan telah dibuat kepada Unesco untuk senarai cadangan, yang dijanjikan badan itu.

Bagaimanapun, kerajaan Pahang membuat pengecualian untuk projek perlombongan terbabit.

Laporan penilaian alam sekitar (EIA) menyatakan kerajaan Pahang "menggantikan Rancangan Khas Tasik Chini dan meluluskan tapak projek untuk aktiviti perlombongan".

Menurut laporan EIA untuk projek perlombongan itu, yang dipamerkan kepada umum pada April lalu sepatutnya meliputi kawasan seluas 40.51 hektar - saiz bersamaan sekitar 60 padang bola sepak.

Plot tanah itu adalah sebahagian daripada kawasan yang lebih besar dikategorikan sebagai "kawasan sensitif alam sekitar tahap 2" yang boleh dibangunkan dengan syarat tertentu, namun aktiviti perlombongan tidak dibenarkan.

Konsesi projek itu dimiliki oleh Hanishah Ventures Sdn Bhd, yang merupakan firma milik bersama Raja Shah Zurin Raja Aman Shah, pelakon dan sepupu kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Pemilik bersama lain yang disenaraikan ialah Tengku Hanizar Tengku Muhammad yang merupakan ibu saudara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang juga Sultan Pahang.

Bagi projek perlombongan, dokumen itu menunjukkan Hanishah Ventures melibatkan diri dengan Golden Prosperous Resources yang merupakan pemain besar dalam industri perlombongan khususnya di Pahang. Antara sektor yang disertai syarikat itu ialah perlombongan bauksit.

Komited melindungi Tasik Chini

Malaysiakini mendapat maklumat bahawa laporan EIA juga telah ditarik balik oleh kontraktor pada suku ketiga tahun ini.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar yang menyenaraikan status laporan EIA yang dikajinya, Operasi Perlombongan Mangan (logam) dan Galian Lain di Lot 89798 telah disenaraikan sebagai Jadual 2 - Batal (Jadual 2 - Dibatalkan).

Jurucakap jabatan itu memberitahu Malaysiakini laporan itu ditarik balik oleh Golden Prosperous Resources kerana ia gagal memenuhi syarat di bawah Seksyen 34a subseksyen 4(a) Akta Kualiti Alam Sekitar.

“Laporan EIA yang dikemukakan syarikat itu didapati tidak selaras dengan Rancangan Tempatan dan Rancangan Kawasan Khas Tasik Chini,” kata jurucakap itu dalam mesej teks ketika dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai status EIA projek berkenaan.

Sementara itu, Sharkar ketika ditanya sama ada Lot 89798 akan dikembalikan statusnya sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 2, Adun Lanchang itu berkata dia perlu menyemak semula perkara tersebut.

Sharkar menegaskan kerajaan Pahang komited untuk lebih melindungi Tasik Chini dan kawasan sekitarnya sekarang.

"Seperti kata menteri besar, kita tidak akan mengeluarkan lagi lesen perlombongan di kawasan Chini. Kerajaan negeri amat serius untuk memelihara Tasik Chini.

“Mewartakan itu mudah, cuma perlu dibentangkan di DUN. Tetapi apa yang lebih penting ialah melindungi kawasan itu. Apa yang kita lakukan adalah yang paling penting.

"Kami sangat ikhlas melakukan perkara ini supaya kawasan Tasik Chini dapat kembali ke keadaan bersih seperti sebelum ini," kata Sharkar kepada Malaysiakini ketika dihubungi minggu lalu.

Kerja-kerja penanaman semula juga sedang dijalankan di kawasan Tasik Chini bagi menutup kawasan hutan yang telah ditebang ekoran pembalakan dan perlombongan.

Dalam siri laporan mengenai Tasik Chini, Malaysiakini turut menekankan fakta bahawa tasik itu dan kawasan sekitarnya masih belum diwartakan secara rasmi sebagai hutan simpan, walaupun exco Pahang meluluskannya lebih dua tahun lalu.

Isu itu telah mendapat kritikan meluas dan juga perhatian Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, yang mahu aktiviti perlombongan di Tasik Chini dihentikan.

Pemangku raja juga mengarahkan kerajaan negeri supaya meningkatkan usaha mengenal pasti sumber pendapatan lain selain perlombongan dan pembalakan.

Menjawab perkembangan terkini, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang melahirkan rasa gembira atas pembatalan projek perlombongan di kawasan Tasik Chini.

"Sudah tentu kami berasa lega dan gembira," kata ketua MNS Pahang Noor Jehan Abu Bakar. "Ia satu petanda baik untuk Chini."

Tasik Chini ialah hutan belantara tropika yang subur dengan pelbagai bio, menempatkan ratusan spesies flora, hidupan bukan akuatik dan ikan air tawar.

Lihat Komen
ADS